Dua Pekerja Ditahan Curi Barang Premis di Tawau
- nabalunews
- 45 minutes ago
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
TAWAU, 29 Jul – Dua pekerja lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an ditahan polis semalam atas kepercayaan terlibat dalam kes kecurian barangan sebuah premis perniagaan di Eastern Plaza, Jalan Kuhara. Polis turut merampas semula barang yang disyaki dicuri dengan nilai keseluruhan RM262.70, dan kes disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan.
Penahanan kedua-dua suspek dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), IPD Tawau kira-kira jam 8.30 malam di kawasan kaki lima bangunan Eastern Plaza, hasil risikan dan maklumat yang diterima pihak berkuasa.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada Ahad lalu. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan seorang suspek memasukkan beberapa barangan premis ke dalam bonet sebuah kereta, sebelum seorang lagi suspek mengeluarkan dan membawa barangan tersebut keluar dari premis.

Bagaimanapun, perbuatan itu dikesan selepas pihak pengurusan premis menjalankan semakan rakaman CCTV, yang seterusnya disusuli dengan laporan polis daripada pemilik kenderaan selepas mendapati barangan tidak dikenali ditinggalkan di dalam bonet kenderaannya.
Susulan tangkapan itu, polis berjaya merampas sebuah lampu solar dan dua unit lampu sorot yang dipercayai milik premis berkenaan. Kesemua barang rampasan dianggarkan bernilai RM262.70 dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Wilynton menegaskan bahawa polis memandang serius jenayah pecah amanah yang dilakukan oleh pekerja kerana ia bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada majikan, malah menjejaskan kepercayaan dalam hubungan pekerjaan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan majikan supaya memperkukuhkan langkah keselamatan premis masing-masing termasuk meningkatkan pemantauan menerusi CCTV serta kawalan dalaman. Orang ramai juga digesa menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah kepada polis bagi membolehkan tindakan segera diambil.















Comments