• Wartawan Nabalu News

COVID-19: KLUSTER LIAWAN, TATAHAN DAN GK TAWAU, KLUSTER BAHARU DI SABAH


10 Nov 2020

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Tiga daripada empat kluster baharu yang dilaporkan hari ini dikenalpasti di Sabah, masing-masing melibatkan daerah Keningau, Kota Kinabalu dan Tawau.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr.Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Liawan melibatkan daerah Keningau. Kes indeks bagi kluster ini dikenal pasti

positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 5 November dan dimasukkan ke Hospital Keningau.

“Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 23 lagi kes positif Covid-19. Kes-kes ini dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah Keningau.

“Sehingga 10 November (hari ini), jam 12 tengah hari, sejumlah 95 individu telah disaring, di mana 24 kes dikesan positif Covid-19 (11 kes baharu), 54 individu dikesan negative dan 17 individu masih menunggu keputusan,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Noor Hisham berkata, Kluster Tatahan pula melibatkan Kota Kinabalu. Kes indeks bagi kluster ini dikenalpasti positif hasil saringan individu bergejala pada 1 November 2020.

“Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 17 lagi kes positif Covid-19. Kesemua kes tersebut dimasukkan ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, Likas dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah Kota Kinabalu.

“Sehingga 10 November 2020, 12 tengah hari, sejumlah 28 individu telah disaring, di mana 18 kes dikesan positif (10 kes baharu) dan 10 individu dikesan negative,” katanya.

Manakala Kluster GK Tawau pula dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala pada 6 Oktober. Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 48 lagi kes positif. Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Tawau.

“Sehingga 10 November, 12 tengah hari, sejumlah 168 individu telah disaring, di mana 49 kes dikesan positif (2 kes baharu); 41 individu dikesan negative dan 78 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Beliau berkata, kluster keempat dikenali sebagai Kluster Kube melibatkan Kota Bharu dan Tanah Merah Kelantan.