• nabalunews

COVID-19: KRT SABAH SUMBANG PPE KEPADA PETUGAS BARISAN HADAPAN JKNS


24 NOV 2020


KOTA KINABALU: Sebanyak 19 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dari seluruh Sabah hari ini menyerahkan bantuan 3,674 kelengkapan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) untuk kegunaan pasukan barisan hadapan di negeri itu mendepani COVID-19.

Selain gaun PPE, KRT iaitu badan di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Sabah itu turut menyerahkan 232 pelindung muka dan 232 penutup kasut.

Kemudahan dari KRT itu diserahkan oleh Pengarah JPNIN Sabah Delin Liet Blaun kepada wakil JKNS, Timbalan Pengarah (Klinikal) 1 Hospital Queen Elizabeth Dr Yogendra Panchalingam dengan disaksikan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Shahelmey Yahya. Antara KRT yang menyumbang termasuk KRT Taman Mat Salleh Penampang, KRT Kampung Baginda Keningau, KRT Siba Bundu Tuhan Kundasang, KRT Kampung Kilimu Ranau, KRT Taman Jaya Diri Sepanggar, KRT Kindasan Sook dan KRT kampung Lompozou Matunggong.

Dengan sumbangan terbaharu itu, JPNIN setakat ini telah menyumbang sebanyak 5,909 gaun PPE kepada JKNS.

Shahelmey berkata usaha yang dilakukan oleh ahli KRT berkenaan amat membanggakan dan memperlihatkan semangat kerjasama dan muafakat amat tinggi dalam kalangan masyarakat untuk bersama-sama memerangi penularan COVID-19. "Saya bagi pihak kerajaan negeri rasa bersyukur dan terima kasih kepada mereka yang terlibat menjayakan usaha murni ini. Saya amat berbangga dengan usaha murni pihak Kementerian Perpaduan Negara dan KRT kerana usaha mereka ini menunjukkan sokongan yang diperlukan oleh petugas barisan hadapan.

“Oleh itu saya menyeru agar lebih banyak pihak, di luar sana dapat membantu usaha pencegahan penularan COVID-19 kerana statistik menunjukkan penularan pendemik ini belum selesai," katanya.

Sementara itu, Delin berkata PPE berkenaan dihasilkan secara sukarela tanpa dibayar gaji atau elaun tetapi hanya disediakan makanan dan minuman melalui peruntukan geran yang diberikan kepada 19 KRT berkenaan.


“Usaha untuk menghasilkan PPE berkenaan akan diteruskan dan akan lebih banyak KRT yang akan terlibat di seluruh Sabah,” tambahnya. - Bernama