• nabalunews

COVID-19: LEBIH 1.06 JUTA RAKYAT SABAH TERIMA MANFAAT BANTUAN KERAJAAN NEGERI


16 NOV 2020


KOTA KINABALU: Lebih 1.06 juta rakyat negeri Sabah setakat ini telah menerima manfaat daripada peruntukan kerajaan negeri berjumlah RM160 juta untuk bantuan COVID-19, Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu hari ini. 

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata menerusi peruntukan itu, RM34.86 juta telah disalurkan menerusi program Bantuan Bakul Makanan melibatkan 169,345 penerima untuk memenuhi keperluan harian rakyat Sabah yang terkesan akibat penularan COVID-19.

Beliau berkata selain itu kerajaan negeri juga telah memberikan bantuan kewangan sekali bayar kepada mereka yang terkesan, pengecualian sewa gerai penjaja dan pengecualian sewa Projek Perumahan Rakyat bermula tiga bulan bermula bulan lepas (Oktober).

"Bagi bantuan Prihatin COVID-19, lebih RM33.75 juta telah dibelanjakan melibatkan 113,919 penerima rakyat Sabah, antaranya lebih RM7.3 juta untuk bantuan am, anak yatim, orang tua, kanak-kanak dan orang kurang upaya," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Calvin Chong Ket Kiun (Warisan-Elopura) yang bertanya mengenai peruntukan dana disediakan kerajaan negeri untuk disalurkan kepada rakyat Sabah yang terkesan akibat penularan COVID-19. 

Hajiji berkata selain itu lebih RM15.66 juta telah disalurkan kepada kumpulan petani terutama B40 antaranya nelayan, pekebun sawit, pekebun kecil koko, penoreh getah dan penternak melibatkan 52,228 penerima.  Beliau berkata kerajaan Persekutuan juga telah menyalurkan RM50 juta menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi membendung COVID-19 seperti pembelian peralatan perlindungan diri dan keperluan di pusat kuarantin serta rawatan COVID-19. 

"Kerajaan persekutuan juga membantu rakyat Sabah dalam bentuk kewangan melalui Bantuan Sara Hidup melibatkan 406,000 penerima berjumlah RM474 juta, dan Bantuan Prihatin Nasional seramai 905,000 dengan perbelanjaan RM983 juta," katanya. 

Sementara itu, Hajiji berkata 542,523 ujian saringan COVID-19 telah dibuat di Sabah bermula 1 Feb lepas sehingga semalam (15 Nov) dengan 23,095 kes positif COVID-19 telah dikesan. 


"Dari segi bilangan sampel dalam makmal setakat semalam, bilangannya sebanyak 3,755 dan Kementerian Kesihatan mengambil langkah mengurangkan bilangan sampel di makmal. 

"Sampel diproses di tiga makmal iaitu Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu, Makmal Universiti Malaysia Sabah dan Makmal Hospital Queen Elizabeth dengan kapasiti 2,700 sampel sehari, juga sampel outsourcing ke makmal swasta di Sabah," katanya. 

Beliau berkata pada masa ini kerajaan belum berhasrat membina sebuah hospital tambahan untuk menampung pesakit COVID-19 dan pada masa ini 11 hospital kerajaan serta 35 Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 mampu menampung keperluan rawatan pesakit. - Bernama

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com