• nabalunews

COVID-19: LIMA KLUSTER BAHARU DIKENAL PASTI HARI INI - KP KESIHATAN


2 Nov 2020

PUTRAJAYA: Lima kluster baharu COVID-19 dikenal pasti hari ini, masing-masing melibatkan satu di Sabah, Labuan, Negeri Sembilan, Sarawak dan Putrajaya, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kluster PTS Tawau melibatkan Pusat Tahanan Sementara (PTS) di Daerah Tawau dengan 104 kes dikesan positif COVID-19.

Kluster Tenaga pula melibatkan subzon Batu Arang di Labuan dan ianya dikesan hasil saringan bersasar terhadap komuniti berisiko tinggi dan setakat 12 tengah hari ini sejumlah 57 kes positif dikesan dengan kesemua kes dimasukkan ke Hospital Labuan.

Menjelaskan Kluster Gedong, Dr Noor Hisham berkata ia melibatkan Daerah Seremban, Port Dickson dan Rembau di Negeri Sembilan dan hasil saringan kontak rapat turut mengesan kes di Daerah Petaling di Selangor, Daerah Johor Bahru di Johor, serta Putrajaya dengan kini, 12 kes dikesan positif COVID-19.

Bagi Kluster Wisma Saberkas ia melibatkan Daerah Kuching, Sarawak dengan lapan kes dikesan positif COVID-19.

Kluster Seridana pula melibatkan Putrajaya dengan lima kes dikesan positif COVID-19 dan kesemua kes dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan Kluster Sungai yang sebelum ini dikesan di Kedah dan Perlis diisytiharkan tamat hari ini selepas tamat tempoh pemantauan dan tiada kes baharu dikesan selama 28 hari berturut-turut.

“Sehingga hari ini seramai 25,406 orang disaring dengan 101 kes dikesan positif COVID-19 dan baki 25,305 orang adalah negatif.

Kadar kepositifan bagi kluster ini adalah 0.40 peratus dengan satu kes kematian dilaporkan dalam kluster ini,” katanya. – Bernama

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com