COVID-19 : LIMA KLUSTER BAHARU DIKESAN HARI INI - KP KESIHATANCOVID-19 : LIMA KLUSTER BAHARU DIKESAN HARI INI - KP KESIHATAN
top of page
  • nabalunews

COVID-19 : LIMA KLUSTER BAHARU DIKESAN HARI INI - KP KESIHATAN


28 DIS 2020


PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti lima kluster baharu yang dilaporkan di Kuala Lumpur, Perak, Johor, Kelantan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya hari ini, empat daripadanya melibatkan kluster tempat kerja.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster baharu pertama dikenal pasti adalah Kluster Tapak Bina Jalan Gadang iaitu kluster tempat kerja yang melibatkan daerah Lembah Pantai dan Cheras di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Kes-kes bagi kluster ini telah dilaporkan positif COVID-19 bermula pada 13 Dis melalui saringan bersasar di sebuah tapak binaan. Sehingga 28 Dis, sejumlah 375 individu telah disaring, dan 13 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini hari ini.


Dr Noor Hisham berkata kluster kedua, Kluster Menara Sri yang juga kluster tempat kerja melibatkan daerah Cheras, Kepong, Lembah Pantai dan Titiwangsa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta daerah Kerian di Perak.

Katanya kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-99,803) telah dilaporkan positif pada 24 Dis melalui saringan individu bergejala dan 14 kes telah dikesan positif.

Kluster berikutnya iaitu Kluster Bukit Pasir (kluster tempat kerja) melibatkan daerah Muar di Johor dan sehingga 28 Dis, sembilan kes telah dikesan positif.

Menurut Dr Noor Hisham, kluster keempat iaitu Kluster Pintu Geng pula dikesan di daerah Kota Bharu, Kelantan dan sejumlah 21 kes telah dikesan positif.

Sementara itu, kluster Putra 15 (kluster tempat kerja) pula dilaporkan di Wilayah Persekutuan Putrajaya dengan lapan individu dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini. - Bernama

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page