COVID-19 JEJASKAN PENDAPATAN PENIAGA KECIL-KECILANCOVID-19 JEJASKAN PENDAPATAN PENIAGA KECIL-KECILAN
top of page
  • Wartawan Nabalu News

COVID-19 JEJASKAN PENDAPATAN PENIAGA KECIL-KECILAN


Ramai peniaga kecil - kecilan terkesan akibat penularan pandemik Covid-19.

21 NOV 2020


Oleh Wartawan Nabalu News

PAPAR: Penularan pandemik Covid-19 memberi kesan kepada kehidupan semua lapisan masyarakat termasuk petani dan peniaga kecil-kecilan di negeri ini.

Selain berdepan masalah kekurangan pelanggan, mereka juga risau jangkitan Covid-19 yang dibawa oleh para pelanggan yang datang berkunjung ke kedai mereka.

Antara deretan kedai yang berada di Pekan Kinarut sejak tahun 1950-an.

Kebanyakan peniaga kecil-kecilan di Pekan Kinarut yang ditemui Wartawan Nabalu News kelmarin berkata, sebelum perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan di seluruh Sabah, jualan mereka begitu laris.

Namun keadaan berubah pada tahun ini, bukan sahaja dari segi jualan, kehadiran pelanggan, kerisauan jangkitan Covid-19 tetapi juga norma kehidupan turut berubah.

Sofia hanya memperolehi pendapatan RM100 sehari sejak PKP dilaksanakan.

Seorang peniaga dari Kg.Langsat Kinarut yang hanya mahu dikenali sebagai Sofia berkata, sebelum ini beliau boleh meraih pendapatan harian antara RM300 dan RM400 tetapi sekarang hanya boleh memperolehi pendapatan lebih kurang RM100 sehari.

“Sebelum PKPB, ramai pelanggan datang sini tapi sekarang jarang sudah yang datang membeli. Dulu kami buka gerai dari ‪jam 6 ‪pagi hingga 7 malam sehingga semua sayur dan buah-buahan habis dijual.

“Tetapi sekarang kita terpaksa ikut had masa yang ditetapkan,” katanya yang memborong sayur-sayuran dan buah-buahan dari penduduk kampung berdekatan.

Aunty Amoi menjual pelbagai jenis sayur-sayuran dan buah-buahan tempatan.

Sementara itu, seorang lagi penjual sayur di Kinarut, yang dikenali sebagai 'Aunty Amoi' turut meluahkan kebimbangan jangkitan Covid-19.

“Peningkatan kes baharu Covid-19 di Sabah seperti yang dilaporkan setiap hari membimbangkan kami sebagai peniaga yang sering berhadapan dengan orang ramai.

“Tetapi kami terpaksa kerana inilah sumber pendapatan kami. Apa yang penting kita mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan untuk mengelak terjangkit virus Covid-19.

“Saya juga berharap semua pelanggan dapat mematuhi SOP yang ditetapkan kerana penyakit ini amat susah untuk dikesan, ada yang dikesan positif Covid-19 tidak menunjukkan apa-apa simptom,” katanya.

Mengenai perniagaannya, Aunty Amoi berkata, sebelum ini sayur-sayuran dan buah-buahan yang dijualnya di pasar itu laris seperti kueh pisang goring tetapi kini semuanya berubah.

“Dulu satu hari boleh jual habis. Sekarang susah mau jual sayur. Terpaksa jual sayur yang tahan lama seperti sayur buah,” katanya.

Peniaga Kedai Runcit - Chua

Chua, peniaga kedai runcit dan sayur di Pekan Kinarut turut bersimpati dengan nasib yang menimpa para peniaga yang menyewa kedai dan menggaji pekerja.

Beliau berkata ramai peniaga terpaksa ‘tutup kedai’ kerana mengalami kerugian.

“Covid-19 menyusahkan ramai orang terutama peniaga kecil-kecilan. Ramai peniaga yang tutup kedai sebab kerugian. Saya bernasib baik sebab saya tidak menyewa,” katanya.

Katanya lagi: “Sayur-sayuran senang sikit mahu jual sebab ia keperluan makanan harian berbanding barangan runcit seperti roti dan biskut… banyak stok yang dikembalikan sebab tamat tempoh tarikh luput”.

bottom of page