COVID-19: PENYERTAAN ATLET SABAH TIDAK TERJEJASCOVID-19: PENYERTAAN ATLET SABAH TIDAK TERJEJAS
top of page
  • nabalunews

COVID-19: PENYERTAAN ATLET SABAH TIDAK TERJEJAS



11 Nov 2020

KOTA KINABALU: Penyertaan atlet Sabah melebihi umur 21 tahun dijangka tidak terjejas dengan penangguhan temasya Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020 berikutan penularan COVID-19.

Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin berkata pihaknya difahamkan bahawa had umur 21 tahun buat atlet Sukma merupakan antara beberapa perkara yang akan dibincangkan semula untuk penganjuran Sukma pada 2022.

"Saya difahamkan had umur penyertaan juga akan dilanjutkan dari 21 tahun ke had umur baharu iaitu 23 tahun ke bawah untuk Sukma XX, tahun 2022 nanti.

“Semua akan dibincangkan dan diperhalusi di peringkat Jawatankuasa Khas Teknikal Sukma di peringkat kebangsaan sebelum dibentangkan semula dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma nanti, sebelum ia dimaklumkan secara rasmi,” katanya menerusi kenyataan di sini, malam ini.

Ellron berkata kontinjen Sabah telah bersedia untuk menyertai Sukma mahupun Para Sukma dengan latihan atlet berjalan seperti biasa sejak berakhirnya kedua-dua temasya itu di Perak pada tahun 2018.

Latihan para atlet berdasarkan norma baharu dengan penerapan prosedur operasi standard (SOP) iaitu bagi sukan acara individu, semua atlet berlatih bersendirian.

Bagi beberapa sukan berpasukan, latihan dijalankan secara kuarantin penuh iaitu dengan kawalan ketat keluar dan masuk ke pusat latihan berkenaan.

Ellron berkata semua latihan atlet dipantau sepenuhnya oleh Majlis Sukan Negeri Sabah (MSNS) dan kementerian sentiasa mengikuti perkembangan serta prestasi semua atlet yang terlibat dari semasa ke semasa.

Beliau berkata seramai 736 atlet membabitkan 31 jenis sukan dalam senarai awal telah didaftar untuk Sukma manakala untuk Para Sukma melibatkan 113 atlet yang akan bertanding dalam sembilan jenis sukan.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengesahkan Sukma Johor 2020 yang dijadual berlangsung dari 6 hingga 14 Mac tahun depan sekali lagi terpaksa ditangguhkan ke tahun 2022 susulan peningkatan kes COVID-19. – Bernama

bottom of page