• Wartawan Nabalu News

COVID-19: SABAH CATAT 252 KES POSITIF BAHARU



22 DIS 2020

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah melaporkan sebanyak 252 kes positif baharu Covid-19 di Sabah, hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 34,977 kes.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, daripada jumlah kes positif Covid-19 hari ini 146 kes berpunca dari saringan kontak rapat, saringan kluster-kluster sedia ada (55 kes), saringan bergejala (30 kes), saringan komuniti (dua kes) dan 19 kes adalah dari lain-lain kategori.


“Daerah Penampang mencatatkan kes tertinggi dengan 45 kes, diikuti Kota Kinabalu 40 kes, Ranau (39 kes), Sandakan (32 kes), Papar (23 kes), Lahad Datu (22 kes), Tuaran (10 kes), Putatan dan Kinabatangan masing-masing lapan kes.


“Tawau hanya mencatatkan tujuh kes, Semporna dan Kudat masing-masing lima kes, Kota Belud (empat kes), Kalabakan (dua kes), Tenom dan Beluran masing-masing satu kes.


“Daerah Beaufort, Kota Marudu, Pitas, Keningau, Telupid, Tongod, Kunak, Kuala Penyu, Sipitang, Tambunan dan Nabawan tidak mencatatkan kes baharu hari ini,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.


Masidi berkata, hari ini, seramai 394 pesakit Covid-19 sembuh menjadikan jumlah kumulatif sembuh 32,597 orang.


“Sejumlah 1,707 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 605 orang di hospital dan 1,102 orang di PKRC.


“Bilangan pesakit Covid-19 dalam ICU ialah 63 orang dan 14 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.