COVID-19: SABAH CATAT 271 KES BAHARU, EMPAT KEMATIAN

8 DIS 2020
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan sebanyak 271 kes daripada 1,012 kes baharu yang dilaporkan di seluruh negara hari ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di Sabah sebanyak 31,057 kes.
Beliau berkata empat kes kematian dicatatkan iaitu dua kes di Tawau dan masing-masing satu kes di Tuaran dan Lahad Datu.
“Daripada 271 kes positif Covid-19 hari ini, sebanyak 120 kes berpunca dari saringan kontak rapat di 15 daerah, 69 kes daripada saringan kluster sedia ada, saringan bergejala 53 kes, saringan komuniti lapan (lapan kes), Saringan Tempat Kerja 16 kes dan lima kes adalah dari lain-lain kategori,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Masidi berkata, daerah Lahad Datu mencatatkan sebanyak 60 kes, Kota Kinabalu (53 kes), Tuaran (34 kes), Tawau (29 kes), Penampang (27 kes), Sandakan (18 kes), Putatan dan Pitas masing-masing lapan kes, Keningau dan Beluran masing-masing tujuh kes, Semporna (enam kes), Kinabatangan (empat kes), Tenom (tiga kes), Kudat (dua kes), Papar, Kota Belud, Kalabakan, Kuala Penyu dan Tongod masing-masing satu kes.
“Daerah-daerah lain tidak mencatatkan kes baharu hari ini. Daerah Sipitang dan Nabawan juga kekal zon hijau,” katanya.
Beliau berkata, hari ini, seramai 237 pesakit Covid-19 sembuh menjadikan jumlah kumulatif sembuh 28,038 orang.
“Sejumlah 2,005 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 631 orang di hospital dan 1,374 orang di PKRC. Bilangan pesakit Covid-19 dalam ICU ialah 64 orang dan 23 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.
Comments