COVID-19: SABAH CATAT 276 KES BAHARU, EMPAT KEMATIAN
2 Feb 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan sebanyak 276 kes positif baharu Covid-19 dan empat kes kematian hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 49,420 kes.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, empat kes kematian masing-masing dua di Sandakan, satu di Kota Kinabalu dan juga satu kes di Putatan.
Beliau berkata, daripada 276 kes positif Covid-19 yang dicatatkan, sebanyak 172 kes (62.3%) berpunca dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 30 kes (10.9%), saringan kluster sedia ada 48 kes (17.4%), saringan PERKESO enam kes (2.2%) dan 20 kes (7.2%) adalah dari lain-lain kategori.
"Daerah Kota Kinabalu mencatatkan sebanyak 40 kes, diikuti Keningau (35 kes), Kinabatangan dan Putatan masing-masing 30 kes, Papar (26 kes), Penampang (16 kes), Lahad Datu (14 kes), Sandakan (13 kes), Tawau, Tuaran dan Ranau masing-masing 11 kes.
"Kunak mencatatkan sebanyak tujuh kes, Sipitang, Kalabakan dan Kota Marudu masing-masing enam kes, Kudat dan Beaufort masing-masing tiga kes, Tenom dan Kuala Penyu masing-masing dua kes, Kota Belud, Telupid, Semporna dan Beluran masing-masing satu kes.
"Empat daerah tidak mencatatkan kes baharu iaitu Pitas, Nabawan, Tongod dan Tambunan," katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.
Masidi berkata, hari ini seramai 388 pesakit Covid-19 telah sembuh dari hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh 45,901 orang.
Beliau berkata, sejumlah 1,951 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 645 orang di hospital, 1,299 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan tujuh orang lagi di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara.
"Bilangan pesakit COVID-19 dalam ICU ialah 93 orang dan 28 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan," katanya.
Comentarios