COVID-19: SABAH CATAT 290 KES BAHARU, SATU KLUSTER, SATU KEMATIAN

29 Nov 2020
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan sebanyak 290 kes baharu Covid-19, daripada jumlah keseluruhan 1,309 kes harian yang dilaporkan di seluruh negara, hari ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di Sabah sebanyak 28,445 kes.
“Daerah Kota Kinabalu mencatatkan 90 kes baharu, Sandakan (74 kes), Tawau (39 kes), Lahad Datu (28 kes), Penampang (26 kes), Kota Belud (13 kes), Putatan (sembilan kes), Tuaran (lapan kes), Papar (dua kes) dan Pitas (satu kes).
“Semporna, Beluran, Tambunan, Beaufort, Ranau, Kudat, Kalabakan, Keningau, Kinabatangan, Tenom, Kuala Penyu, Tongod, Kunak, Kota Marudu, Sipitang, Telupid dan Nabawan tidak mencatatkan kes baharu,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Masidi berkata, daripada 290 kes positif Covid-19 hari ini, 128 kes adalah berpunca daripada saringan kontak rapat, 90 kes daripada saringan kluster baharu dan sedia ada, saringan bergejala 23 kes, saringan komuniti (11 kes), dan 38 kes adalah dari lain-lain kategori.
Beliau berkata, hari ini, seramai 315 pesakit Covid-19 telah discaj / sembuh dari hospital
menjadikan jumlah kumulatif sembuh 25,108 orang.
“Sejumlah 2,252 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 649 orang di hospital dan 1,603 orang di PKRC.
“Bilangan pesakit COVID-19 dalam ICU ialah 70 orang dan 17 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan.
"Satu kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini di Tawau," katanya.
Comments