• Wartawan Nabalu News

COVID-19: SABAH CATAT 441 KES BAHARU, 1 KEMATIAN, 1 KLUSTER BAHARU



27 Nov 2020

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan sebanyak 441 kes baharu Covid-19, hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes di negeri ini 27,679 kes.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, satu kes kematian dilaporkan hari ini di Semporna dan satu kluster baharu iaitu Kluster Jalan Tuaran.


Beliau berkata, daripada 441 kes positif Covid-19 hari ini, sebanyak 192 kes atau 43.54 peratus adalah dari saringan kontak rapat melibatkan Kota Kinabalu, Tawau, Lahad Datu dan Sandakan. Baki 249 kes adalah dari lain-lain kategori.


“Daerah Kota Kinabalu mencatatkan kes tertinggi hari ini sebanyak 132 kes. Daripada jumlah itu 34 kes adalah daripada Kluster Jalan Tuaran, Kluster Sutera (18 kes) dan Kluster Rumah Merah (empat kes).


“Manakala saringan kontak rapat sebanyak 65 kes, saringan bergejala (lapan kes), saringan kendiri (dua kes) dan saringan sebelum kerja (satu kes),” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.


Masidi berkata, daerah kedua mencatatkan kes tertinggi hari ini ialah Sandakan dengan 90 kes, diikuti Tawau (56 kes), Lahad Datu (46 kes), Kudat (28 kes), Tuaran (25 kes), Penampang (18 kes), Putatan (13 kes).


“Daerah Kota Belud (lapan kes), Papar (lima kes), Pitas dan Kalabakan masing-masing empat kes, Semporna dan Beaufort masing-masing tiga kes, Keningau (dua kes), Beluran (dua kes), Ranau dan Kinabatangan masing-masing satu kes.


“Daerah Tenom, Kuala Penyu, Tambunan, Tongod, Kunak, Kota Marudu, Sipitang, Telupid dan Nabawan tidak mencatatkan kes baharu hari ini,” katanya.


Masidi berkata, hari ini seramai 738 pesakit Covid-19 telah discaj atau sembuh dari hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh seramai 24,519 orang.


“Sejumlah 2,027 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 663 orang di hospital dan 1,364 orang di PKRC.


“Bilangan pesakit Covid-19 dalam ICU ialah 74 orang dan 21 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.