COVID-19: SABAH CATAT 60 KES POSITIF BAHARU HARI INI

23 Mac 2021
Oleh Marryan Razan
KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan 60 kes positif baharu Covid-19 hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 54,355 kes.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, daripada jumlah kes pada hari ini, sebanyak 29 kes (48.3%) berpunca dari saringan kontak rapat, tujuh kes (11.7%) saringan bergejala, satu kes (1.7%) dari kluster sedia ada serta 23 kes (38.3%) dari lain-lain kategori.
"Daerah yang mencatatkan kes tertinggi ialah Keningau dengan 26 kes, Kota Belud mencatatkan enam kes, Tawau dan Tuaran masing-masing empat kes, Kota Kinabalu dan Kota Marudu masing-masing tiga kes.
"Tenom, Kinabatangan, Papar dan Beluran masing-masing dua kes, Kalabakan, Putatan, Nabawan, Kunak, Sipitang dan Tambunan masing-masing satu kes.
"Daerah yang mencatatkan kes sifar pada hari ini ialah Penampang, Lahad Datu, Sandakan, Telupid, Kudat, Beaufort, Ranau, Pitas, Kuala Penyu, Semporna dan Tongod," katanya dalam kenyataan akhbr, di sini, hari ini.
Masidi berkata, jumlah pesakit Covid-19 discaj dari hospital ialah 42 menjadikan jumlah kumulatif 53,510 orang.
Beliau berkata, seramai 395 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 151 orang di hospital dan 244 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam. Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 17 orang dan tiga orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan.
Comments