top of page
  • Wartawan Nabalu News

Covid-19: Sabah catat peningkatan kes hari ini dengan 965 kes baharu



28 Sept 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Jumlah kes positif baharu Covid-19 di Sabah pada hari ini meningkat sebanyak 214 kes iaitu kepada 965 kes berbanding kelmarin menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 195,980 kes.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Masidi Manjun yang juga jurucakap Covid-19 berkata, 38 kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu sembilan kes di Tawau, empat kes di Kota Kinabalu dan Putatan, tiga kes di Sandaka dan Kunak.


“Manakala dua kes masing-masing di Lahad Datu, Kota Marudu dan Beaufort serta satu kes masing-masing di Semporna, Keningau, Papar, Kota Belud, Tuaran, Penampang, Kudat, Ranau dan Tenom.


“Peningkatan kumulatif harian negeri Sabah adalah sejajar dengan jumlah daerah yang merekodkan peningkatan kes iaitu 19 daerah, dengan kumulatif peningkatan kes bagi keseluruhan daerah tersebut adalah 359 kes,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Menurut Masidi, antara daerah yang merekodkan peningkatan kes hari ini ialah Kota Marudu sebanyak 105 kes (+78 kes), Ranau sebanyak 88 kes (+71 kes), Keningau sebanyak 96 kes (+21 kes) kes, dan Tuaran sebanyak 65 kes (+19 kes).


“Bagaimanapun, kawasan bandar seperti Kota Kinabalu menurun 45 kes berbanding kelmarin iaitu sebanyak 95 kes hari ini dan Penampang sebanyak 19 kes (-17 kes).


“Saringan kontak rapat terus menjadi penyumbang utama bagi keseluruhan kes di Sabah hari ini dengan 566 kes manakala saringan bergejala mempunyai 331 kes, saringan kluster sebanyak empat kes, dan 64 kes melalui saringan lain-lain,” katanya.


Bagi bilangan pesakit sembuh termasuk yang discaj dari hospital atau Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) ialah sebanyak 1,367 orang, menjadikan jumlah kumulatif 176,090 orang.


"Seramai 3,220 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,232 orang di hospital, 1,942 orang di PKRC Awam, 38 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara manakala lapan orang di fasiliti swasta.


"Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 139 orang merangkumi 124 di ICU serta 15 di open ward (HDW/kubikel akut) dan 48 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.


Tiada Kluster Covid-19 baharu direkodkan di Sabah hari ini.