• Wartawan Nabalu News

COVID-19 : TIGA KES KEMATIAN, DUA KLUSTER BARU DILAPORKAN



19 OKTOBER 2020


BY WARTAWAN NABALU NEWS


KOTA KINABALU : Tiga lagi kes kematian akibat Covid-19, dilaporkan hari ini yang kesemuanya di Sabah, masing-masing di Hospital Tawau, Hospital Queen Elizabeth dan Hospital Duchess of Kent Sandakan.


Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, dua daripada kes itu adalah lelaki tempatan dan bukan warganegara dan seorang wanita tempatan berumur antara 52 hingga 85 tahun.


"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 190 kes atau 0.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya dalam sidang akbar yang disiarkan secara langsung melalui Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia, hari ini.


Noor Hisham berkata, sehingga kini, terdapat 99 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 32 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya lagi, dua terdapat kluster baharu dikenal pasti pada hari ini iaitu Kluster Hentian di Selangor dan Kluster Bukit di Melaka.


“Kluster Hentian melibatkan daerah Hulu Langat di Selangor. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-18664) dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 15 Oktober lalu dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.


“Saringan kontak rapat telah mengenal pasti enam lagi kes positif. Sehingga 19 Oktober, 12 tengah hari, sejumlah 127 individu telah disaring, di mana tujuh kes dikesan positif dan 120 individu masih menunggu keputusan,” katanya.


Noor Hisham berkata, Kluster Bukit pula melibatkan daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin di negeri Melaka.


“Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-17531) dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 13 Oktober lalu dan telah dimasukkan ke Hospital Melaka.


“Saringan kontak rapat telah mengenal pasti 14 lagi kes positif. Sehingga hari ini (19 Oktober) jam 12 tengah hari, sejumlah 89 individu telah disaring, di mana 15 kes dikesan positif, 73 individu negatif dan seorang individu masih menunggu keputusan,” katanya


Secara keseluruhannya 31 kluster aktif di negara termasuk dua kluster baharu yang dilaporkan hari ini.


Kluster Penjara Kepayan melaporkan kes tertinggi sebanyak 135 diikuti Auto (41) dan Saguking (30).


Kluster Tembok pula hanya melaporkan satu kes baharu hari ini.