• Wartawan Nabalu News

COVID-19: TIGA KLUSTER BAHARU DIKESAN DI SABAH



3 DIS 2020

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan empat kluster baharu dikenalpasti di seluruh negara hari ini, masing-masing satu di Selangor dan tiga di Sabah.


Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr.Noor Hisham Abdullah berkata, kluster-kluster itu ialah Kluster Monsoon melibatkan daerah Petaling di Selangor, Kluster Jalan Kilang dan Kluster Perdana Enam di Lahad Datu dan Kluster Jalan Kubota di Tawau.


“Kluster Perdana Enam melibatkan daerah Lahad Datu. Kes indeks bagi kluster ini dilaporkan positif Covid-19 pada 22 November lalu hasil saringan individu bergejala.


“Sehingga hari ini (3 Disember), sejumlah 213 individu telah disaring, di mana 25 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya.


Noor Hisham berkata, Kluster Jalan Kilang juga melibatkan daerah Lahad Datu.


“Kes-kes awal dalam kluster ini telah dilaporkan positif bermula 15 November lalu hasil saringan tempat kerja di sebuah kilang. Sehingga 3 Disember, sejumlah 104 individu telah disaring, di mana 24 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya.


Beliau berkata kes indeks bagi Kluster Jalan Kubota dilaporkan positif Covid-19 pada 25 November lalu hasil saringan individu bergejala.


Katanya, sehingga hari ini sejumlah 72 individu telah disaring, di mana 14 kes telah dikesan positif dalam kluster ini.