• Wartawan Nabalu News

COVID-19: TIGA LOKASI BAHARU PKPD DI SABAH


5 Nov 2020


KOTA KINABALU: Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga lokasi baharu di negeri ini berkuatkuasa esok sehingga 19 Nov ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD itu akan dibuat di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau, Penjara Sandakan dan Kuarters Penjara Taman Wira Sandakan.

“Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini mendengar pembentangan daripada MKN Sabah mengenai situasi kes positif Covid-19 di Pusat Tahanan Sementara Tawau.

“Sehingga 4 November (kelmarin), saringan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan sebanyak 440 kes Positif Covid-19 melibatkan tahanan dan juga staf di pusat tahanan ini.

“Atas nasihat dan penilaian risiko yang dijalankan oleh KKM, sidang khas MKN hari ini bersetuju melaksanakan PKPD di Pusat Tahanan Sementara Tawau berkuatkuasa 6 November sehingga 19 November,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.

Ismail Sabri berkata, PKPD ini akan melibatkan 1,707 inidividu yang terdiri daripada 1,603 tahanan dan 104 kakitangan.

Katanya, pelaksanaan PKPD ini bagi membolehkan KKM terus melaksanakan saringan secara bersasar kepada tahanan dan kakitangan di pusat tahanan sementara ini.

“SOP PKPD ini adalah sama seperti SOP PKPD penjara/pusat tahanan yang telah diumumkan sebelum ini termasuk larangan keluar masuk daripada kawasan ini dan lawatan oleh ahli keluarga tahanan adalah tidak dibenarkan,” katanya.

Beliau berkata PKPD di Penjara Sandakan dan Kuarters Penjara Taman Wira pula melibatkan seramai 1,605 individu yang merangkumi 1,308 orang tahanan dan 297 orang kakitangan.

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com