• nabalunews

COVID-19 'TONJOL' JURANG KEMUDAHAN KESIHATAN SABAH, SEMENANJUNG


11 Nov 2020

KUALA LUMPUR: Pandemik COVID-19 yang menyaksikan Sabah sebagai antara negeri mencatatkan kes positif paling banyak dalam gelombang ketiga wabak itu benar-benar menampakkan jurang kemudahan kesihatan yang sangat jauh di antara Sabah dan Semenanjung Malaysia, kata seorang ahli Parlimen.

Membangkitkan perkara itu pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021, Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) antara lain memberitahu bahawa terdapat hospital di Sabah yang masih menggunakan katil kayu atau katil besi lama.

"Ketika waktu pandemik ini, amat sukar untuk membawa atau mengubah kedudukan katil-katil ini kerana tidak beroda. Ini masih ada lagi di Hospital Kota Belud," katanya di Dewan Rakyat hari ini.


Mengambil contoh kawasan parlimennya yang sering dilanda banjir kilat, Isnaraissah Munirah berkata aspek logistik pengambilan pesakit dari rumah, terutamanya di kawasan pedalaman juga ternyata mendatangkan cabaran besar kepada pelbagai pihak.

Di Kota Belud misalnya, banjir kilat yang kerap berlaku memaksa petugas barisan hadapan menggunakan kenderaan pacuan empat roda mereka sendiri untuk dijadikan ambulans supaya dapat meredah banjir bagi mengambil pesakit, kata beliau.

"Sudah tiba masanya kita melihat keperluan mengikut keadaan, kerana pandemik kali ini benar-benar membuka mata kita untuk menjadi lebih kreatif berikutan banyak kekurangan yang kita hadapi," katanya.

Turut dibangkitkan beliau ialah sistem pangkalan data rekod pesakit yang masih menggunakan cara manual dan membuang masa, dan mencadangkan penggantian dengan sistem digital untuk kemudahan bersama. - Bernama