• nabalunews

COVID-19: USAHAWAN MIKRO SABAH TERJEJAS PERLU MANFAAT BANTUAN RM1,000



26 DIS 2020


TAWAU: Usahawan mikro di Sabah yang terjejas oleh pandemik COVID-19 boleh memanfaatkan bantuan kewangan sekali bayar RM1,000 seorang yang disediakan kerajaan negeri.


Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata inisiatif kerajaan negeri itu bertujuan mengurangkan beban usahawan yang berdepan masalah aliran tunai.


"Peruntukan ini disalurkan melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah," katanya ketika ditemui selepas Program Suara Warga Anak Muda (SUWAM) di sini.


Pada masa sama, beliau berharap persatuan belia di negeri itu merebut peluang mendapatkan bantuan daripada Kementerian Belia dan Sukan untuk melaksanakan aktiviti bagi menaik taraf ekonomi golongan tersebut.


Selepas program itu, Nizam turut meluangkan masa bertemu ahli Persatuan Peniaga-Peniaga Bergerak Tawau di Jalan Pesisir di sini dan menyerahkan 54 bantuan kanopi bagi memudahkan aktiviti perniagaan mereka.


“Baru-baru ini, persatuan ini berjumpa dengan saya dan membangkitkan permasalahan yang dihadapi mereka sekali gus memohon bantuan, dan hari ini sebagai permulaan dan pendorong semangat mereka saya menyumbang 54 kanopi," katanya. –Bernama