COVID: 3,731 KES BAHARU, 15 KEMATIAN HARI AHAD - KP KESIHATANCOVID: 3,731 KES BAHARU, 15 KEMATIAN HARI AHAD - KP KESIHATAN
top of page
  • nabalunews

COVID: 3,731 KES BAHARU, 15 KEMATIAN HARI AHAD - KP KESIHATAN



7 Feb 2021


KUALA LUMPUR: Kes sembuh harian COVID-19 meningkat hampir sekali ganda dalam tempoh 24 jam lepas berbanding semalam dengan 3,369 kes direkodkan hari ini, sementara kes baharu pandemik itu pula ialah 3,731 kes.


Sejumlah 15 kematian akibat COVID-19 dilapor hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kematian ialah 872 orang.


Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah keseluruhan kes sembuh daripada COVID-19 di Malaysia kini 190,339 kes, manakala jumlah kumulatif kes positif COVID-19 ialah 242,452 kes.

“Jumlah keseluruhan kes aktif COVID-19 dengan kebolehjangkitan dalam negara pula 51,241 kes,” katanya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.


Beliau berkata daripada jumlah kes baharu itu, lapan adalah kes import melibatkan empat rakyat Malaysia yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah 3,723 kes melibatkan 1,946 warga tempatan.


Dr Noor Hisham berkata seramai 292 orang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 140 daripada mereka memerlukan bantuan alat pernafasan.


Kes kematian hari ini kesemuanya melibatkan warganegara iaitu lapan lelaki dan tujuh wanita berusia dalam lingkungan 18 hingga 94 tahun dengan 14 daripada mereka berpenyakit, katanya.


Beliau berkata Selangor terus melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,606 kes, diikuti Johor dengan 499 kes dan Kuala Lumpur (372 kes).


Melaka pula mencatat 313 kes; Pulau Pinang (250); Sarawak (219); Sabah (160); Negeri Sembilan (92); Perak (71); Kedah (43); Pahang (34); Kelantan (32); Terengganu (29); Putrajaya (sembilan) dan Perlis (dua kes).


Dr Noor Hisham berkata tujuh kluster baharu dilaporkan menjadikan jumlah kluster aktif kini ialah 441 dengan 81 daripadanya mencatatkan pertambahan kes hari ini.


Beliau berkata daripada tujuh kluster baharu itu, tiga membabitkan tempat kerja iaitu Kluster Tapak Bina Lembah Selatan dan Kluster Jalan Bagan di Selangor, serta Kluster Jalan Gangsa Dua (Johor), manakala dua kluster melibatkan komuniti iaitu Kluster Seruas (Sarawak) dan Kluster Taman Segar (Perak).


Dr Noor Hisham berkata Kluster Lorong Mawar di Perak pula melibatkan aktiviti keagamaan dan satu lagi kluster baharu ialah kumpulan berisiko tinggi iaitu Kluster Ampang Campuran di Selangor.


"Kluster-kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi hari ini adalah Kluster Industri Serkam (246 kes), Kluster Gudang Salak Tinggi (127 kes), dan Kluster Tapak Bina Lembah Selatan (99 kes).


"Jumlah kluster yang telah tamat pula sebanyak 454 kluster termasuk tujuh kluster yang tamat hari ini iaitu Kluster Pintu Geng, Kluster Ehsan Ibol, Kluster Persiaran Heights, Kluster Langkasuka, Kluster Wawasan, Kluster Jalan BBN, dan Kluster Texmile,” katanya. - Bernama


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page