COVID: KES BAHARU HARI INI CATAT LEBIH 2,000 SELEPAS 41 HARICOVID: KES BAHARU HARI INI CATAT LEBIH 2,000 SELEPAS 41 HARI
top of page
  • nabalunews

COVID: KES BAHARU HARI INI CATAT LEBIH 2,000 SELEPAS 41 HARI



15 April 2021


KUALA LUMPUR: Kes baharu COVID-19 negara kembali mencatatkan angka melepasi 2,000 selepas 41 hari dengan 2,148 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas.


Kali terakhir negara mencatat kes melebihi angka 2,000 adalah pada 5 Mac lalu dengan 2,154 kes.


Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran di Twitter beliau hari ini memaklumkan tiga negeri tertinggi mencatat kes baharu adalah Sarawak dengan 512 kes, Selangor (459 kes) dan Kelantan (221 kes).


Ini diikuti Sabah dengan 202 kes, Johor (182), Kuala Lumpur (171), Pulau Pinang (134), Terengganu (57), Melaka (53), Perak (51) dan Negeri Sembilan dan Pahang masing-masing mencatat 34 kes.


Beliau berkata Kedah mencatat 26 kes, Putrajaya (8), Labuan (3) dan Perlis merekod satu kes bagi tempoh 24 jam lepas.


Dalam kenyataan dikeluarkan kemudian, Dr Noor Hisham memaklumkan sebanyak 1,259 kes sembuh dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih berjumlah 349,039.


Beliau berkata 10 kematian turut direkodkan hari ini, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kematian sebanyak 1,363 kes.


Menurutnya, kes kematian hari ini membabitkan masing-masing tiga di Kuala Lumpur dan Selangor, selain dua di Sarawak dan masing-masing satu di Johor serta Sabah.


“Sebanyak 212 kes pula dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala 82 kes memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.


Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 15 kluster baharu dikenal pasti hari ini, membabitkan sembilan kluster tempat kerja dan enam kluster komuniti.


Kluster tempat kerja ialah Kluster Kampung Bunut Sarang Burung, Kluster Kampung Domis, Kluster Kampung Labok dan Kluster Kok Lanas di Kelantan; Kluster Jaya Setia dan Kluster Perabot Olak Lempit (Selangor); Kluster Lorong Megah Jaya serta Kluster Jalan Labuk Tiga (Sabah); dan Kluster Jalan Radin (Kuala Lumpur).


Sementara Kluster Komuniti melibatkan Kluster Biah Skim dan Kluster Melangkap Tomis di Sabah; Kluster Kampung Bechah Semak (Kelantan); Kluster Jalan Cempaka Putih (Johor); Kluster Taman Rakyat (Terengganu); dan Kampung Pokok Machang (Kedah). - Bernama


bottom of page