• nabalunews

COVID19: JKNS TERIMA SUMBANGAN PPE DARIPADA KELAB ROTARY INTERNATIONAL


19 NOV 2020

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) hari ini menerima 1,070 peralatan perlindungan diri (PPE), 50,000 pelitup muka serta 700 pelindung muka, daripada Kelab Rotary International.

Sumbangan berkenaan disampaikan Ahli Jawatankuasa Kelab Rotary Kota Kinabalu Datuk Dr Tarsiah Taman, kepada Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) JKNS Dr Asits Sanna dalam satu majlis ringkas di sini, hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Tarsiah berkata sumbangan berkenaan adalah hasil kerjasama Kelab Rotary Malaysia, Brunei dan Singapura, untuk membantu petugas barisan hadapan kesihatan di Sabah.

“Sumbangan itu untuk petugas barisan hadapan di hospital seluruh Sabah serta sebagai tanda sokongan Kelab Rotary kepada petugas JKNS, yang berusaha bertungkus-lumus membendung penularan wabak COVID-19 di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata sumbangan itu akan dilaksanakan sacara berterusan dan dalam masa terdekat kelab berkenaan akan melaksanakan pelbagai lagi sumbangan kepada petugas barisan hadapan termasuk mengagihkan bantuan bakul makanan.

Sementara itu, Dr Asits menzahirkan ucapan terima kasih kepada kelab berkenaan yang telah berbesar hati memberikan sumbangan berkenaan kepada JKNS.

“Sumbangan ini cukup bermakna kepada kami berikutan keadaan semasa kes COVID-19 di Sabah dan selepas ini sumbangan berkenaan akan diagih-agihkan kepada hospital di seluruh Sabah,” katanya. – Bernama

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com