• Wartawan Nabalu News

Cuaca buruk diramal landa beberapa kawasan di Sabah dan negeri-negeri lain petang ini


5 May 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


PUTRAJAYA: Jabatan Metrologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang akan melanda di beberapa buah negeri termasuk Sabah pada petang ini.


MetMalaysia dalam satu kenyataan berkata ramalam cuaca buruk tersebut dijangka akan melanda di beberapa kawasan di pedalaman Sabah (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat (Papar, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran, Ranau dan Kota Belud), Tawau, Sandakan dan Kudat.


“Cuaca buruk tersebut turut dijangka akan berlaku di beberapa kawasan di negeri Sarawak seperti Kuching, Samarahan dan Limbang.


“Sementara itu, negeri lain yang juga terkesan adalah Wilayah Persekutuan Labuan, Kedah (Langkawi), Pulau Pinang (Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan), dan Perak (Manjung dan Bagan Datuk),” kata MetMalaysia.


MetMalaysia berkata, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.


Jelas kenyataan tersebut, amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.