Cuaca panas berterusan di tujuh negeri, MetMalaysia keluarkan amaran

12 Mei 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
SHAH ALAM: Tujuh negeri di Malaysia mengalami cuaca panas berterusan yang boleh mencapai 37 darjah Celsius, menurut Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia).
MetMalaysia mengeluarkan amaran cuaca panas tahap satu (berjaga-jaga) di Sabah, Sarawak, Kedah, Kelantan, Perak, Selangor, dan Negeri Sembilan, bermula Khamis.
Amaran ini dikeluarkan apabila suhu maksimum harian di kawasan-kawasan terbabit melebihi 35 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.
Menurut kenyataan MetMalaysia, kawasan-kawasan yang terjejas termasuk Beaufort dan Kinabatangan di Sabah; Mukah di Sarawak; Kuala Muda, Padang Terap, Baling dan Bandar Baharu di Kedah; Pasir Mas di Kelantan; Selama, Matang dan Larut, Kinta, Hulu Perak, Manjung dan Batang Padang di Perak; Kuala Selangor di Selangor; dan Jempol di Negeri Sembilan;
"Cuaca panas berkenaan boleh mencecah di antara 35 hingga 37 darjah Celsius," kata MetMalaysia.
MetMalaysia menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah berjaga-jaga seperti minum air yang mencukupi, mengelakkan aktiviti luar pada waktu tengah hari dan memakai pakaian yang sesuai.
Comments