top of page

Cubaan curi 20 batang kayu beruti digagalkan Maritim Malaysia

  • nabalunews
  • Oct 28, 2024
  • 1 min read

28 Oktober 2024


LAHAD DATU: Cubaan sebuah bot pam membawa 20 batang kayu beruti yang dicuri di perairan Kunak gagal apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu kira-kira 5.20 pagi, pada Sabtu.


Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan Op Pluto Timur 2/2013 telah mengesan sebuah bot pam berwarna merah dan tiada nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan di kedudukan kira-kira 0.7 batu nautika Timur Laut Bandar Kunak.


Hasil pemeriksaan awal, pasukan Maritim Malaysia menemui 20 batang kayu beruti yang diikat disisi bot yang dikendalikan tiga warga Filipina berusia 35 hingga 45 tahun.


"Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati, bot pam itu melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 kerana kesemua suspek tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan melakukan kesalahan di bawah Akta Kanun Keseksaan kerana memiliki kayu beruti disyaki dicuri," katanya dalam kenyataan media.


Hasil soal siasat, difahamkan 20 batang kayu berkenaan dicuri dari kilang untuk dijual di pasaran tempatan.


Bot pam beserta kayu beruti yang dianggarkan bernilai lebih RM5,000 ditahan dan diiring ke Jeti Zon Maritim Lahad Datu dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim untuk tindakan lanjut.


Berikutan kes tangkapan tersebut, Zon Maritim Lahad Datu akan meningkatkan rondaan dan pemeriksaan ke atas bot-bot yang berada di perairan Lahad Datu khususnya yang melakukan aktiviti

mencurigakan.


Dzulfikhar turut menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang dan akan mengambil tindak tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page