Cubaan Seludup 32,800 Liter Bahan Bakar Bersubsidi Gagal
- nabalunews
- Jul 26, 2025
- 1 min read

26 Julai 2025
SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya mematahkan satu cubaan menyeludup bahan bakar bersubsidi dalam operasi di kawasan perairan Tanjung Papat, di sini, hari ini.
Dalam operasi kira-kira jam 1 pagi itu, sebanyak 32,800 liter minyak diesel dan petrol bersubsidi yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran berjaya dirampas.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, pasukan operasi berjaya menahan sebuah kapal nelayan selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kapal berkenaan membawa muatan minyak diesel dan petrol yang dipercayai cuba diseludup.
“Sebanyak 32,800 liter minyak diesel dan petrol berjaya dirampas. Pasukan operasi turut menahan seorang lelaki warga tempatan dan empat warga asing berusia dalam linkungan 26 tahun hingga 35 tahun.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan nilai keseluruhan rampasan termasuk kapal dianggarkan sebanyak RM 1.020 juta,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, semua barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan selanjutnya.
Sehubungan itu, Mohd Nazri berkata, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus komited membanteras aktiviti penyeludupan yang menggugat keselamatan dan ekonomi negara.
Katanya, pihaknya turut mengalu-alukan kerjasama orang awam dalam menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah maritim.
“Kami menyeru seluruh komuniti maritim supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan mencurigakan supaya tindakan segera dapat diambil,” katanya.















Comments