Cubaan seludup barangan kawalan guna bot pam gagal, ditahan Maritim Malaysia
24 November 2024
LAHAD DATU: Cubaan menyeludup keluar barangan kawalan seperti beras, minyak paket dan tong gas menggunakan sebuah bot pam berjaya dipatahkan
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu di perairan Tanjung Batu, Felda Sahabat, Lahad Datu awal pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, berdasarkan maklumat risikan yang diterima, bot ronda Maritim Malaysia telah berjaya mengesan sebuah bot pam dalam keadaan mencurigakan kira-kira 3.45 pagi tadi di kedudukan 0.4 batu nautika Selatan Tanjung Batu, Felda Sahabat, Lahad Datu.
Menyedari kehadiran pihak berkuasa, pemandu bot pam terbabit bertindak melarikan diri dan mengubah haluan ke arah daratan berhampiran dan telah bertindak terjun ke dalam laut.
Hasil pemeriksaan awal mendapati bot pam tersebut membawa beberapa barang kawalan seperti beras, minyak paket dan tong gas.
Bot dan kesemua barang di bawa ke Jeti Pos Maritim Felda Sahabat untuk siasatan lanjut.
"Pemeriksaan lanjut menemukan dua tong gas berwarna hijau, 17 bungkus minyak masak dengan anggaran berat 17 kilogram (kg), sembilan kampit beras dengan berat 90kg dan lima kampit beras dengan berat 25kg.
"Turut ditemui satu tiub hablur kristal disyaki dadah jenis syabu," kata Dzulfikhar dalam kenyataan hari ini.
Katanya kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta kawalan beras dan padi 1994 dan Akta Dadah Merbahaya 1952.
Turut dirampas sebuah bot pam tanpa nombor pendaftaran berserta sebuah enjin pam.
Kesemua barang rampasan tersebut dianggarkan bernilai hampir RM 8,500.
Dzulfikhar berkata Zon Maritim Lahad Datu akan mempertingkatkan rondaan dan pemeriksaan ke atas bot-bot khususnya yang berada di lokasi titik panas di perairan ini bagi memastikan kegiatan yang melanggar undang-undang seperti kes ini dapat dibendung.
Katanya orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan insiden yang berlaku di laut ke Pusat Operasi Zon Maritim Lahad Datu melalui aplikasi Whatapp 016-9305727 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.
Comments