• nabalunews

CUKUPLAH BERPOLITIK, MASA UNTUK BEKERJA: STAR



10 JAN 2021


KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yakin kerajaan negeri yang dipimpin oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mampu membina semula Sabah dan memulihkan ekonomi negeri.


Naib Presiden STAR Edward Linggu dalam satu kenyataan di sini hari ini mengatakan bahawa kerajaan GRS sudah mempunyai rancangan strategik yang dipanggil 'Sabah Maju Jaya' yang akan menentukan halatuju Sabah untuk tahun-tahun akan datang.


"Namun, untuk memastikan rancangan ini berjaya, kerajaan negeri harus diberi ruang dan kesempatan untuk melaksanakan rencananya.


"Oleh itu, STAR ingin menyuarakan sokongan parti terhadap ketua Umno Sabah, Dato’ Sri Bung Moktar Radin yang, semalam, mengatakan bahawa politik harus diketepikan dalam usaha membangunkan Sabah," katanya.


Linggu berkata, kerajaan GRS mempunyai mandat rakyat, tidak seperti kerajaan negeri sebelumnya.


Oleh itu, beliau berkata pembangkang harus menerima kekalahan mereka dengan terbuka dan jika mereka benar-benar ikhlas, bekerjasama dengan kerajaan untuk melaksanakan semua rancangan di bawah rangka Halatuju Sabah Maju Jaya.


“Lima tahun akan datang pastinya dipenuhi dengan cabaran dan kesulitan. Kita tidak boleh mengharapkan Sabah mencatat pertumbuhan KDNK 8.2 peratus dengan segera setelah melihat pertumbuhan KDNK kita menjunam ke 1.5% dan 0.5% pada 2018 dan 2019.


"Namun STAR berharap di bawah pemerintahan GRS, Sabah sekali lagi akan maju dan makmur. Tidak ada cabaran yang dapat menandingi semangat juang rakyat kita,” katanya.


Beliau menyeru semua rakyat Sabah, dan anggota STAR khususnya, untuk bersatu dan menumpukan tenaga dan bakat mereka untuk membantu memastikan kerja baik kerajaan untuk membangunkan Sabah akan membuahkan hasil.


“Ketepikan politik. Rakyat telah membuat keputusan. Saya pasti mereka pun tidak mahu lagi bercakap mengenai politik. Malah ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin dari parti pembangkang seperti Parti Warisan Sabah dan UPKO sudah mula menyertai STAR.


"Mereka rela mengetepikan politik kerana mereka hanya ingin membina semula Sabah dan ekonomi negeri setelah prestasi buruk kerajaan sebelumnya. Jadi, sekarang mari kita semua bekerjasama,” katanya.

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com