- Wartawan Nabalu News
Cuti am tambahan bagi rakyat sambut Aidilfitri – PM

18 April 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Rakyat yang ingin pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bakal menerima satu lagi cuti am tambahan daripada kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cuti am tambahan itu diberikan bagi memudahkan rakyat membuat perancangan sewajarnya berikutan pengumuman rasmi tarikh 1 Syawal yang hanya akan dibuat pada Khamis, 20 April.
Beliau berkata, sekiranya 1 Syawal jatuh pada Jumaat, 21 April, cuti am tambahan akan diberikan pada Isnin, 24 April. Namun, sekiranya 1 Syawal jatuh pada Sabtu, 22 April, cuti am tambahan akan diberikan pada Jumaat, 21 April.
"Keputusan ini dibuat berdasarkan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan 1951 bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan," katanya pada sidang media khas di Pejabat Perdana Menteri hari ini.
Bagi Sabah dan Sarawak pula, beliau berkata kerajaan negeri boleh mengisytiharkan cuti am tambahan mengikut Ordinan Hari Kelepasan Am masing-masing.