Damirin Bersara Selepas Hampir 39 Tahun Menabur Bakti Dalam Pendidikan

Oleh Kidd
20 Oktober 2026
KOTA BELUD: Selepas hampir 39 tahun menabur bakti dalam bidang pendidikan, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Taginambur (SEKTA), Damirin @ Suzana Simbeh, diraikan dalam Majlis Persaraan di Dewan Terbuka sekolah itu, hari ini.
Majlis yang berlangsung penuh meriah dan bermakna itu dihadiri wakil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Belud, Mohd Zaini Tawan, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SEKTA, Oliver Ladsin, barisan pentadbir, guru, kakitangan serta murid sekolah berkenaan.
Damirin, yang dilahirkan pada 21 Oktober 1966, bakal menamatkan perkhidmatan secara rasmi pada 21 Oktober 2026 selepas mencurahkan khidmat bakti dalam dunia pendidikan sejak 4 Januari 1988.

Beliau mendapat latihan perguruan di Maktab Perguruan Kent, Tuaran, sebelum melanjutkan pengajian dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Psikologi Kaunseling daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2005.
Memulakan kerjaya sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Garau, Kudat, beliau kemudiannya berkhidmat di SK Taginambur dan beberapa sekolah lain serta memegang pelbagai jawatan kepimpinan sepanjang perkhidmatannya.
Pada 19 Oktober 2020, beliau kembali ke SK Taginambur sebagai Guru Besar dan menerajui pentadbiran sekolah itu sehingga persaraannya.

Sepanjang perkhidmatan, Damirin menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sebanyak empat kali sebagai pengiktirafan terhadap komitmen dan kecemerlangannya dalam bidang pendidikan.
Di bawah kepimpinannya, SK Taginambur turut mencatat pencapaian membanggakan dalam bidang kokurikulum dan sukan, termasuk pernah berada dalam kelompok tiga terbaik Majlis Sukan Sekolah (MSS) Zon Selatan.
Selain itu, murid sekolah berkenaan turut berjaya mewakili zon dan daerah dalam pelbagai pertandingan di peringkat lebih tinggi.
Antara perkara yang paling membanggakan beliau sepanjang bergelar pendidik ialah kejayaan bekas muridnya dalam pelbagai bidang profesional, termasuk sebagai peguam, doktor, jururawat, guru dan pensyarah.
Dalam ucapan persaraannya, Damirin merakamkan penghargaan kepada PPD Kota Belud, barisan pentadbir, guru, kakitangan sokongan serta PIBG atas sokongan dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Beliau turut menitipkan pesanan kepada murid-murid supaya sentiasa rajin belajar, menghormati guru, menyayangi ibu bapa serta menjaga tingkah laku demi membentuk sahsiah diri yang baik.
Damirin mendirikan rumah tangga bersama Juman Mitunda, yang juga seorang pesara guru, pada 11 November 1989 dan dikurniakan tiga orang anak.















Comments