top of page

Dapur Siswa UMS Meriah, 150 Pelajar Sertai Aktiviti Rewang dan Iftar Bersama Pengurusan Universiti

  • nabalunews
  • Mar 19
  • 2 min read

19 Mac 2026


KOTA KINABALU: Semangat gotong-royong dan ukhuwah terus subur di Universiti Malaysia Sabah (UMS) apabila kemudahan Dapur Siswa universiti itu dimanfaatkan sepenuhnya menerusi penganjuran Aktiviti Rewang sempena bulan Ramadan, di Kolej Kediaman Tun Mustapha (KKTM) di sini, baru-baru ini.


Program yang disusuli dengan Majlis Berbuka Puasa ini anjuran Pusat Pengurusan Non-Resident dan Fasiliti Perumahan Pelajar (PNRF) UMS dengan kerjasama Pengurusan Kolej Kediaman, menghimpunkan kira-kira 150 pelajar yang masih meluangkan masa di kampus sebelum pulang bercuti.


Kemeriahan program mula dirasai seawal pagi apabila kakitangan PNRF, barisan pengurusan kolej kediaman, felo, dan para pelajar berganding bahu memerah keringat memasak dan menyediakan pelbagai juadah berbuka puasa secara beramai-ramai.

Menjelang waktu berbuka, majlis diserikan dengan pengisian rohani menerusi sesi tazkirah yang disampaikan oleh pendakwah dari Pusat Islam UMS, Ustaz Mohd Zakri Mainang.


Dalam ceramahnya, beliau mengingatkan para hadirin tentang kepentingan menghayati nilai kesyukuran, mengamalkan kesederhanaan, serta mengambil peluang pada bulan Ramadan untuk memperkukuh ikatan silaturahim.


Majlis tersebut disempurnakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Dr. Raman Noordin. Beliau menzahirkan harapan agar inisiatif seumpama itu dapat dijadikan acara tradisi.

"Kita berharap aktiviti seperti ini dapat diteruskan bagi memperkukuh hubungan antara pihak pengurusan universiti, staf, dan pelajar.


"Ia secara tidak langsung menyemarakkan lagi penghayatan Ramadan melalui aktiviti kebajikan dan kebersamaan di dalam kampus," katanya.


Hadir sama Pengarah PNRF, Stella @ Nurul Martini Gontol; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Azmi Jumat; dan Pengarah Pusat Sukan, Ahmadi Bin Nurdin.


Yang turut hadir barisan Pengetua Kolej Kediaman serta Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS, Allen Paul Justinus.


Kemuncak program menyaksikan seluruh warga kampus menjamu selera dalam suasana yang cukup harmoni, sekali gus menterjemahkan simbol kebersamaan dan semangat kekeluargaan yang utuh di UMS. Para jemaah juga menunaikan solat Maghrib secara berjemaah di Dewan Serbaguna Kolej Kediaman Tun Mustapha (KKTM) UMS.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page