• Wartawan Nabalu News

DARI PENIAGA KECIL-KECILAN, KINI NORCY USAHAWAN WANITA BERJAYA

Updated: Jan 11


Norcy memberikan demonstrasi cara memproses produk kosmetik.

9 JAN 2021


Oleh Marryan Razan


BERMULA sebagai peniaga kecil-kecilan produk Homemade Skincare dengan hanya bermodalkan RM200 pada tahun 2017, kini wanita Rungus dari Matunggong Kudat menjadi antara usahawan wanita muda berjaya di Sabah.


Beliau ialah, Pengarah Urusan Norcy Beautylab, Norsiah Ahiddin, 33, yang kini memiliki bangunan Makmal Memproses Produk Kosmetik di Matunggong yang dibiayai Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah pada 2019.

Norcy

Selain mengeluarkan produk jenama Prebiotic Skincare, beliau juga membantu beberapa usahawan tempatan mengeluarkan produk dengan jenama sendiri.


“Sekiranya ada individu diluar sana yang ingin mengeluarkan produk jenama sendiri, mereka perlu memahami proses penghasilan produk kosmetik.


“Di Norcy Beautylab, antara perkhidmatan yang kami ditawarkan ialah menghasilkan produk kecantikan, kelas kosmetik, ujian makmal, persijilan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), menjual bahan mentah dan membuat kosmetik, kelas pemasaran produk dan Design packaging.


“Perbezaan makmal ini dengan kilang OEM, ialah makmal kami adalah tempat menghasilkan Formula (R&D) sesuatu produk kosmetik.

“Manakala OEM (Original Equipment Manufaturing) pula adalah kilang yang menghasilkan produk repacking. Token (formula R&D kosmetik) yang diperolehi dari KKM boleh dihantar ke mana-mana kilang OEM untuk penghasilan produk dan repacking,” katanya kepada Nabalu News.


Pernah menjadi jemputan sebagai Panel Forum Keusahawanan “Usahawan Muda” sempena Unipreneur Fiesta pada November 2019, Norcy berkata, beliau mempunyai impian bukan sahaja menjadi usahawan berjaya, memiliki produk dengan jenama sendiri tetapi ingin mengubah kehidupan keluarga dan diri sendiri.


“Sebab itu, sebelum memulakan perniagaan saya mengikuti kursus Tunas Usahawan Bumiputera (TUBE) anjuran Smecorp Malaysia untuk mempelajari selok-belok perniagaan memandangkan saya dan seluruh keluarga saya tidak pernah didedahkan dengan perniagaan,” katanya.

Norcy menyampaikan cenderahati kepada Datuk Ewon semasa lawatan pada tahun 2019.

Norsiah atau lebih dikenali sebagai Norcy berkata, selepas mengikuti beberapa kursus keusahawanan, beliau akhirnya berjaya membuka sebuah kilang produk kecantikan sendiri pada 2019.


“Selain mengusahakan kilang produk kecantikan Norcy Beautylab. Syarikat Norcy akan melebarkan sayap dengan menambah cabang perniagaan Kedai Barang Kemas "Norcy Gold & Jewels” di Kota Kinabalu, tahun ini,” katanya.


Beliau yang berkelulusan Sarjana Muda Sains Makmal Klinikal (Kepujian) dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bekerja sebagai Juruteknologi Makmal Perubatan di Hospital KPJ selama beberapa tahun sebelum beralih ke dunia perniagaan.

Lawatan bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick pada tahun 2019.

“Saya mengambil keputusan behenti kerja dan mula berkecimpung dalam dunia perniagaan kerana saya mahu mengubah kehidupan dan nasib keluarga saya menjadi lebih baik.


“Sebelum ini ‘mindset’ keluarga saya tertumpu kepada kerja ‘makan gaji’ sahaja dapat menjamin masa depan tetapi saya mahu mengubah pemikiran mereka bahawa berniaga juga boleh mendatangkan kejayaan jika berada di landasan yang betul,” kata Pengasas Norcy Kosmetik itu.


Norcy berkata, beliau juga mempunyai matlamat untuk memajukan ekonomi di kawasan Matunggong serta menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih ramai belia kawasan itu.

Antara produk keluaran kilang Norcy.

“Saya mempunyai semangat yang kuat untuk turut membantu memajukan kawasan Matunggong. Saya yakin melalui perniagaan, saya dapat menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada mereka yang memerlukan. Ia secara tidak langsung dapat meningkatkan ekonomi di kawasan ini,” katanya.


Penerima Anugerah Usahawan Sabah dan Anugerah Usahawan 100 ‘Most Outstanding Entrepreneur Sabah’ anjuran Kementerian Perdagangan dan Perindustrian Sabah pada 2019 itu berkata, setelah tiga tahun berkecimpung dalam perniagaan, antara cabaran utama ialah meyakinkan pelanggan.


“Cabaran paling besar dalam perniagaan adalah meyakinkan pelanggan dengan produk kita kerana persaingan dunia perniagaan terlalu kuat dan pelanggan mempunyai banyak pilihan.

Antara produk keluaran kilang Norcy.

“Bagaimanapun semua cabaran itu tidak pernah mematahkan semangat saya untuk terus maju, sebaliknya ia memberikan motivasi kepada saya supaya kekal berdaya saing dan konsisten dalam perniagaan.


“Saya jadikan semua cabaran itu sebagai pendorong untuk mempertingkatkan lagi perkhidmatan dari semasa ke semasa untuk meyakinkan pelanggan,” katanya.


Mengenai Norcy Beautylab, Norcy berkata, mereka juga menawarkan Kursus Berimpak Tinggi Kepada Komuniti, bermula awal tahun lalu sebelum arahan perintah kawalan pergerakan (PKP). Antara kursus yang dijalankan ialah Kursus Memproses Pelbagai Jenis Sabun (skala makmal).


“Saya berharap suatu hari nanti para peserta juga bakal menjadi usahawan dan mempunyai produk kosmetik jenama sendiri.


“Norcy Beautylab bukan sekadar Pengilang dan Makmal R&D Kosmetik untuk memformulasikan produk jenama sendiri tetapi kami juga merupakan Certified Trainer bagi kursus-kursus penghasilan produk kosmetik kaedah kilang dan makmal kosmetik.


“Kami berharap lebih ramai individu mahu mempelajari cara pemprosesan produk kosmetik sebelum menghasilkan produk jenama sendiri,” katanya.


Norcy Beautylab Sdn Bhd adalah antara syarikat tempatan yang dipilih oleh KPLB Sabah menyertai pameran Karnival Usahawan Desa (KUD) di Putrajaya pada Oktober 2019.

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com