• Wartawan Nabalu News

DARURAT DI BATU SAPI, KEHIDUPAN RAKYAT TIDAK TERJEJAS



19 Nov 2020

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kehidupan harian rakyat di Batu Sapi Sandakan tidak akan terjejas dengan pengisytiharan darurat di kawasan itu.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, pengisytiharan darurat di Bahagian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen (P.185) Batu Sapi bertujuan untuk membatal dan menangguhkan PRK Batu Sapi demi melindungi nyawa rakyat.


“Oleh itu kehidupan rakyat di Batu Sapi tidak akan terjejas dengan perisytiharan darurat ini dan tidak ada perintah berkurung atau pemerintahan ala tentera di kawasan Parlimen Batu Sapi.


“Begitu juga dengan pentadbiran kerajaan, kegiatan ekonomi dan aktiviti sosial dapat diteruskan tertakluk kepada amalan norma baharu serta peraturan di bawah arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang berkuatkuasa,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, di sini, hari ini.


Masidi berkata, lima faktor utama PRK Batu Sapi ditangguhkan, iaitu faktor ancaman terhadap kesihatan awam, kekangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mendapatkan petugas pilihan raya, pergerakan rentas daerah dalam kalangan petugas pilihan raya dan pengundi tidak dapat dielakkan.


Selain itu katanya pengisytiharan darurat di kawasan itu juga disebabkan kebimbangan risiko jangkitan dalam kalangan pengundi terutamanya warga emas dan kesan ke atas kehidupan sosial dan ekonomi penduduk di Batu Sapi sekiranya penularan Covid-19 berlaku secara mendadak selepas PRK.


Kelmarin, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Parlimen Batu Sapi, sekali gus membatalkan pilihan raya kecil kerusi itu.


Sehubungan itu, dalam satu kenyataan kelmarin, Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh dipetik sebagai berkata, satu tarikh lain akan ditetapkan untuk PRK berkenaan susulan pengisytiharan darurat tersebut.


Pada 13 Okt lepas, SPR menetapkan hari penamaan calon PRK Batu Sapi pada 23 Nov manakala hari pengundian awal pada 1 Dis dan pengundian pada 5 Dis.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Liew Vui Keong pada 2 Okt akibat jangkitan paru-paru.

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com