DARURAT: PENUGASAN PDRM DI PARLIMEN BATU SAPI MASIH BERDASARKAN SOP PKPB – KPNDARURAT: PENUGASAN PDRM DI PARLIMEN BATU SAPI MASIH BERDASARKAN SOP PKPB – KPN
top of page
  • nabalunews

DARURAT: PENUGASAN PDRM DI PARLIMEN BATU SAPI MASIH BERDASARKAN SOP PKPB – KPN


foto Bernama

18 Nov 2020


KUALA LUMPUR: Penugasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Parlimen Batu Sapi, Sabah masih mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan di seluruh Sabah pada 13 Okt lepas meskipun darurat sudah diisytiharkan di kawasan itu.


Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata polis bagaimanapun bersedia jika Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengumumkan perintah lebih ketat seperti pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di mana-mana lokasi di kawasan Parlimen berkenaan.


“Berdasarkan arahan MKN, polis akan mengambil tindakan sewajarnya termasuk menambah anggota dan memperketatkan kawalan. Setakat ini, penugasan polis di kawasan berkenaan adalah seperti biasa.


“Saya akur dengan keputusan pengisytiharan ini yang bermakna Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Batu Sapi tidak akan dilaksanakan kerana saya memang berpendapat pelaksanaannya perlu dielakkan berikutan jumlah kes COVID-19 yang tinggi di Sabah ketika ini,” katanya kepada Bernama.


Abdul Hamid berkata kegiatan dan pergerakan orang ramai di kawasan Parlimen itu yang masih di bawah PKPB tertakluk kepada arahan semasa MKN.


Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Affendi Buang ketika dihubungi Bernama turut senada dengan Abdul Hamid.


Beliau berkata ATM akan mengikuti SOP yang ditetapkan kerajaan walaupun Batu Sapi diisytihar darurat.


Hari ini, Bernama melaporkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Parlimen Batu Sapi, sekali gus membatalkan pilihan raya kecil kerusi itu.


Turut dilaporkan, proklamasi darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dilakukan selepas memperhalusi penjelasan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempersembahkan nasihat beliau susulan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri berhubung perkara itu. – Bernama

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page