Dasar kemasukan murid enam tahun ke Tahun Satu bukan eksperimen
- nabalunews
- 7 days ago
- 2 min read

22 Januari 2026
KUALA LUMPUR: Dasar membenarkan kemasukan murid Tahun Satu pada usia enam tahun bukan eksperimen, sebaliknya dilaksanakan secara sukarela, berfasa serta disokong mekanisme saringan yang menyeluruh.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan dasar berkenaan merupakan sebahagian daripada perancangan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang telah dibentangkan dan dibahaskan di Dewan Rakyat, selain hasil sesi libat urus melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.
“Anak kita bukan untuk ujian makmal ataupun tikus makmal. Sebab itu kita tekankan bahawa dalam konteks ini kita nak bagi tumpuan kerana ia adalah dasar yang telah pun kita bincangkan bahaskan dalam RMK13. Jadi soal libat urus itu semua telah dilakukan.
“Yang kedua, kita tidak berhasrat ia menjadi rintis, sebab itu kita sebut ia berfasa, kita sebut ia sukarela dan itu kita sebut bahawa ia harus berlaku dengan sokongan diagnostik,” katanya dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) berhubung sesi libat urus sebelum dasar kemasukan murid enam tahun ke Tahun Satu dilaksanakan.
Menurut Fadhlina, pelbagai sesi libat urus telah dilaksanakan termasuk menerusi Jelajah Masa Depan Pendidikan Negara, portal cadangan pendidikan masa hadapan serta perbincangan di peringkat akar umbi yang memberi tumpuan kepada isu pendidikan awal kanak-kanak.
Jelasnya, kemasukan murid berusia enam tahun adalah bersifat sukarela dan hanya ditawarkan kepada kanak-kanak yang benar-benar bersedia, berdasarkan saringan diagnostik yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).
“Pelaksanaan dasar turut disokong bantuan psikososial bagi memastikan proses penyesuaian murid berjalan dengan baik, memandangkan ia melibatkan perubahan kepada persekitaran pembelajaran formal,” ujarnya.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) berhubung kesiapsiagaan sekolah, guru dan prasarana khususnya di kawasan bandar, Fadhlina berkata, setiap dasar mesti disokong persiapan menyeluruh.
Menurutnya, KPM telah melaksanakan pemetaan awal bagi mengenal pasti negeri dan sekolah yang dijangka akan menerima permintaan tinggi susulan pelaksanaan dasar berkenaan.
Selain itu, katanya kementerian turut mengambil langkah proaktif termasuk pengambilan guru lantikan secara kontrak atau Contract of Service (CoS) dan perancangan pembinaan kelas tambahan.


















Comments