Dashboard status terkini MA63 boleh diakses hujung bulan ini
- nabalunews
- Jan 1
- 2 min read

1 Januari 2026
KOTA KINABALU: Kerajaan akan melancarkan Dashboard Status Terkini Perkara di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang boleh diakses orang ramai hujung bulan ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, ia merupakan usaha meningkatkan ketelusan dan akses perkembangan pelaksanaan MA63 kepada rakyat khususnya berkaitan tuntutan 40 peratus hak Sabah.
"Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof telah bersetuju supaya Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) JPM membangunkan Dashboard Status Terkini Perkara di bawah MA63 yang dijangka boleh diakses melalui Portal Rasmi BHESS JPM pada hujung Januari,” katanya dalam perutusan tahun baharu 2026, hari ini.
Sementara itu, menurut beliau, sehingga kini, sebanyak sebanyak 29 perkara MA63 telah dibincangkan melalui Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Daripada jumlah itu, katanya, 13 perkara berjaya diselesaikan iaitu masing-masing sembilan di bawah Kerajaan Madani, manakala empat lagi di bawah kerajaan terdahulu.
"Ini adalah pencapaian terbaik Kerajaan Madani berbanding Perdana Menteri dan kerajaan terdahulu dalam menguruskan pelaksanaan MA63," ujarnya.
Jelasnya, baki 16 perkara lagi kini sedang dirunding secara berterusan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak melalui MTPMA63 dan Jawatankuasa Teknikalnya, dengan pemantauan rapi oleh BHESS selaku sekretariat bersama semua pihak berkepentingan.
Menurut Mustapha, BHESS juga akan meneruskan usaha untuk mengadakan sesi libat urus dengan kementerian-kementerian serta agensinya; pihak industri; ahli akademia; pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak-pihak berkaitan untuk memantapkan pelaksanaan MA63.
Beliau berkata, kerajaan akan terus memelihara hak, kepentingan dan kemajuan Sabah serta Sarawak selaras semangat MA63 demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara.
“Kerajaan MADANI akan terus memastikan pelaksanaan MA63 dilaksanakan secara berhemah, inklusif dan berteraskan semangat Persekutuan Malaysia, selari dengan tekad Perdana Menteri untuk memperkukuh kedudukan Sabah dan Sarawak dalam pembinaan negara,” katanya.















Comments