DBKK, JBPM Perketat Pemantauan: Dua Premis Hiburan Diserbu dalam Operasi Bersepadu
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

11 Sept 2025
KOTA KINABALU: Dua premis hiburan di pusat bandar Kota Kinabalu diserbu dalam operasi bersepadu oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah Isnin lalu.
Operasi yang bermula jam 8.30 malam itu diketuai oleh Pengarah JBPM Negeri Sabah, Mohd. Pisar Aziz dan Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Operasi) DBKK, Robert Lipon, dengan penglibatan 30 anggota daripada JBPM dan DBKK, termasuk Jabatan Pelesenan dan Jabatan Kawalan Bangunan.
“Objektif utama pelaksanaan operasi bersepadu ini ialah untuk memeriksa keselamatan kebombaan premis hiburan, menilai pematuhan syarat lesen DBKK dan menguatkuasakan tindakan terhadap pelanggaran operasi tanpa kebenaran,” menurut kenyataan bersama DBKK.
Hasil pemeriksaan mendapati beberapa pelanggaran serius termasuk renovasi tanpa kelulusan pelan, laluan kecemasan terhalang, sistem pam air kebombaan gagal berfungsi, pelanggaran kebombaan serta lesen operasi yang telah tamat tempoh.
Sebagai langkah awal, JBPM Negeri Sabah mengeluarkan amaran lisan serta nasihat keselamatan, dengan tempoh sebulan diberikan kepada pemilik premis untuk pembetulan. DBKK pula memberi amaran lisan dan menetapkan tempoh sehingga hujung September bagi pembaharuan lesen selain memantau isu renovasi tanpa kelulusan.
DBKK dan JBPM Negeri Sabah menegaskan komitmen mereka dalam memastikan keselamatan masyarakat serta pematuhan undang-undang sentiasa terpelihara, dan pemeriksaan susulan akan terus dilakukan bagi memastikan semua tindakan pembetulan dilaksanakan.
Comments