DBKK lancar Roadmap Pembangunan EA dan Super App, pacu transformasi digital
- nabalunews
- 6 days ago
- 2 min read

13 April 2026
KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melancarkan secara rasmi Roadmap Pembangunan Enterprise Architecture (EA) dan Super App DBKK sebagai langkah proaktif memodenkan sistem penyampaian perkhidmatan awam di bandar raya ini.
Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai berkata, pelan hala tuju berkenaan menjadi rangka kerja induk yang menyelaraskan komponen teras organisasi meliputi sumber manusia, proses, data, sistem dan teknologi.
Menurutnya, EA berperanan sebagai tulang belakang kepada transformasi menyeluruh DBKK, selain bertindak sebagai panduan strategik dalam memastikan pembangunan perkhidmatan digital dilaksanakan secara tersusun dan bersepadu.

“EA berfungsi sebagai kompas organisasi yang membimbing ke arah transformasi digital secara holistik, di samping mewujudkan platform yang merapatkan jurang antara pengurusan atasan, jabatan operasi dan pasukan teknologi.
“Kita tidak boleh membina perkhidmatan digital yang cemerlang di atas asas yang rapuh. Pelan hala tuju ini adalah pelan induk bagi memastikan sistem dalaman diselaraskan sebelum pembangunan Super App DBKK dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Hala Tuju Pembangunan Enterprise Architecture (EA) dan Super App DBKK, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Joniston yang juga Menteri Bertanggungjawab kepada DBKK berkata, pembangunan Super App DBKK akan mengintegrasikan pelbagai saluran perkhidmatan di bawah satu platform dengan konsep ‘satu platform, pelbagai saluran, sifar kerumitan’.
Katanya, inisiatif itu membolehkan warga Kota Kinabalu mengakses perkhidmatan DBKK pada bila-bila masa dan di mana sahaja, termasuk urusan permohonan, pembayaran, kelulusan serta maklum balas tanpa perlu hadir ke kaunter fizikal.
“Pendekatan pelbagai saluran ini memastikan tiada golongan tercicir, termasuk warga emas dan mereka yang kurang mahir teknologi. Ini adalah komitmen kami dalam menyampaikan perkhidmatan yang lebih pantas, telus dan berpaksikan rakyat,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada DBKK atas pengiktirafan sebagai Smart City Early Adopter 2025 yang diterima daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada Oktober tahun lalu.
Menurutnya, pencapaian itu memperkukuh aspirasi Kota Kinabalu untuk menjadi bandar raya mesra digital yang mampan, selaras dengan keperluan urbanisasi dan jangkaan awam yang semakin meningkat.
“Transformasi digital kini bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu keperluan, justeru kita sedang meletakkan asas ke arah Kota Kinabalu yang lebih pintar menerusi prinsip ‘Satu Bandar, Satu Data, Satu Hala Tuju’,” katanya.
Joniston turut merakamkan penghargaan kepada Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebagai rakan kolaborasi utama yang menyumbangkan kepakaran akademik dan teknikal dalam pembangunan pelan berkenaan.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah, Pengerusi SIRIM Berhad Datuk (Ir) Dr Khairol Anuar Tawi serta Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia Datuk Dr Abu Bakar Tariq.















Comments