DBKK minta orang ramai buang sampah secara berhemah
- nabalunews
- Sep 9
- 1 min read

9 September 2025
KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) meminta orang ramai supaya mengamalkan pembuangan sampah secara berhemah bagi memastikan kebersihan serta kelestarian bandar raya terpelihara.
DBKK dalam kenyataan hari ini berkata, meskipun tong sampah roro telah disediakan untuk kemudahan masyarakat, masih terdapat segelintir penduduk yang membuang sampah di luar tong berkenaan.
“Tindakan ini bukan sahaja mencacatkan pemandangan, malah menjejaskan kebersihan serta menimbulkan risiko kesihatan kepada orang ramai,” menurut kenyataan itu.
DBKK berkata, keadaan tersebut dikesan berlaku di kawasan kampung di Jalan Universiti Malaysia Sabah (UMS) apabila sebahagian penduduk meninggalkan sampah di tepi tong roro, menyebabkan longgokan sampah serta menimbulkan bau tidak menyenangkan.
Menurut DBKK, masalah sama turut dilihat di kawasan komersial yang menggunakan pusat pelupusan sampah dan rumah sampah.
“Sampah yang dibuang di luar tong bukan sahaja menyukarkan kerja-kerja pembersihan, malah turut mencemarkan imej bandar raya,” jelas kenyataan itu.
Justeru katanya, orang ramai dinasihatkan agar membuang sampah ke dalam tong yang disediakan, serta melaporkan kepada DBKK sekiranya tong penuh atau kutipan belum dilakukan.


















Comments