top of page

DBKK rangka pelan tindakan hadapi lonjakan warga emas

  • nabalunews
  • 2 days ago
  • 2 min read

14 April 2026


KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan merangka Pelan Tindakan Bandar Mesra Usia sebagai langkah proaktif menghadapi peningkatan populasi warga emas di bandar raya ini.


Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, inisiatif itu selari dengan jangkaan Malaysia menjadi negara menua menjelang 2030 apabila lebih 15 peratus penduduk berusia 60 tahun ke atas, berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia.


Katanya, pelan berkenaan akan memberi tumpuan kepada penambahbaikan infrastruktur termasuk laluan pejalan kaki yang lebih selamat, kemudahan awam mesra warga emas serta pengukuhan kerjasama dengan agensi berkaitan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).


“Seiring perubahan demografi ini, bandar-bandar di Malaysia semakin menyedari kepentingan menjadi bandar mesra usia bagi menyokong kesejahteraan serta kualiti hidup warga emas.


“Inisiatif ini juga mencerminkan misi DBKK untuk menjadikan Kota Kinabalu sebagai bandar raya yang bersih, hijau dan berdaya huni, di samping memastikan persekitaran bandar yang inklusif serta selamat untuk semua lapisan umur dan keupayaan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Inspirasi dan Realiti: Perkongsian Bandar Mesra Usia (Age-Friendly City) 2026, di sini, pada Isnin.


Program itu disertai kira-kira 200 peserta dan menjadi platform perkongsian ilmu serta amalan terbaik, termasuk pengalaman Pulau Pinang dalam melaksanakan agenda mesra usia melalui Penang Women’s Development Corporation (PWDC).


Menurut Sabin, DBKK akan menjadikan konsep Bandar Mesra Usia yang diperkenalkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai rujukan utama dalam merangka dasar dan pelaksanaan di peringkat bandar.


“Bagi Kota Kinabalu, inilah masa paling sesuai untuk memulakan langkah, dan program ini diharap menjadi platform strategik dalam memperkukuh kefahaman, perkongsian ilmu serta amalan terbaik berkaitan pembangunan bandar mesra usia.


“Ia juga memberi panduan praktikal kepada DBKK dalam merancang langkah awal yang lebih tersusun dan berkesan,” ujarnya.


Selain itu, beliau berkata inisiatif tersebut turut melengkapi pelaksanaan Bandar Mesra Kanak-kanak hasil kerjasama DBKK dengan United Nations Children's Fund (UNICEF) sejak 2024.


Katanya, pendekatan itu mencerminkan komitmen DBKK dalam memastikan pembangunan bandar yang inklusif, selamat dan berdaya huni untuk semua peringkat umur, selaras dengan aspirasi Pelan Kota Kinabalu 2035 yang menekankan keterangkuman serta kesejahteraan sosial.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page