DEB FC Dinobat Juara Piala Pisompuruan 2025
- nabalunews
- Oct 12
- 2 min read

12 Oktober 2025
KOTA BELUD : Pasukan DEB FC muncul juara Karnival Bola Sepak Tertutup Kadamaian, Piala Pisompuruan 2025, selepas menewaskan Piasau United dalam perlawanan akhir yang sengit dan penuh aksi di Padang Kompleks Sukan Botung, Kota Belud, petang semalam.
Kemenangan tersebut melayakkan DEB FC membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, berserta piala kejuaraan dan pingat kemenangan. Walaupun tewas, Piasau United tetap membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 dan pingat selaku naib juara.
Selain kejuaraan pasukan, kejohanan tersebut turut menyaksikan beberapa anugerah individu disampaikan kepada pemain yang menyerlah. Pemain tengah Piasau United, Erick Odo, dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Kejohanan dan menerima ganjaran RM250 atas ketokohannya di padang.

Sementara itu, Allen Den Pilar daripada DEB FC diumumkan sebagai Penjaring Terbanyak dan turut menerima RM250 sebagai pengiktirafan atas ketajamannya menjaringkan gol sepanjang kejohanan.
Tempat ketiga dimenangi oleh Tambulion FC yang membawa pulang RM2,500, manakala PTD FC berada di tempat keempat dengan RM1,250, serta menerima kit latihan khas selepas dinobatkan sebagai Pasukan Terbaik Kejohanan.
Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kota Belud merangkap Pengerusi Penganjur Jolyhame Saran, merakamkan penghargaan kepada semua 16 pasukan yang bertanding sejak kejohanan bermula pada 4 Oktober lalu. Beliau menzahirkan rasa bangga atas semangat kesukanan tinggi dan disiplin yang ditonjolkan oleh semua pemain dan pegawai pasukan.
Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Menteri Usahawan dan Koperasi merangkap Presiden UPKO Malaysia, Datuk Ewon Benedick, atas sokongan moral dan kewangan yang diberikan sepanjang penganjuran kejohanan berprestij tersebut.
Menurut Jolyhame, Ewon turut bersetuju agar kejohanan ini dijadikan program tahunan dengan penambahbaikan dari segi format pertandingan dan tawaran hadiah bagi menarik lebih ramai penyertaan daripada golongan belia serta masyarakat setempat.
Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Bahagian UPKO Kota Belud, Carlye Lajimin, yang turut mengucapkan tahniah kepada semua pasukan dan berharap kejohanan ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang.
Beliau menegaskan bahawa penganjuran kejohanan seumpama ini bukan sahaja menyemarakkan semangat kesukanan, malah berperanan penting dalam memupuk perpaduan, memperkukuh silaturahim, serta mengasah bakat sukan dalam kalangan belia tempatan.
Terdahulu,pada sebelah paginya, Ewon hadir merasmikan majlis penutupan kejohanan dan sempat beramah mesra dengan kesemua pemain dan penyokong yang hadir.
Kejohanan Piala Pisompuruan 2025 sekali lagi membuktikan bahawa sukan menjadi medium terbaik untuk mengukuhkan jati diri dan semangat kebersamaan rakyat di Kadamaian Kota Belud.


















Comments