Demam Denggi: Kes kematian meningkat 400 Peratus berbanding tahun lepas
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Demam Denggi: Kes kematian meningkat 400 Peratus berbanding tahun lepas


29 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Malaysia menghadapi ancaman demam denggi yang semakin serius apabila kes kematian akibat penyakit itu meningkat 400 peratus pada tahun ini berbanding tahun lepas.


Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, pada Minggu Epidemiologi Ke-12 tahun ini terdapat 17 kes kematian akibat demam denggi berbanding hanya empat kes pada tempoh yang sama pada tahun 2022.


Beliau berkata jumlah kes denggi juga merekodkan angka membimbangkan apabila kes pada Minggu Epidemiologi Ke-12 tahun ini meningkat 223 peratus berbanding pada tahun lepas.


“Secara perbandingan kita lihat statistik daripada 8,124 kes pada 2022 ia meningkat kepada 26,222 kes,” katanya dalam satu sidang media semalam.


Beliau memberitahu kerajaan akan mengambil langkah proaktif dalam menangani isu tersebut dengan melibatkan NGO dan doktor sukarela untuk turun ke bawah secara berjadual dan berkala ke kawasan-kawasan panas dan tumpuan yang tinggi penyebaran nyamuk aedes di daerah dan kawasan tertentu.


Beliau menegaskan aset-aset Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di luar musim banjir juga akan digunakan untuk membawa alatan operasi memerangi denggi.


Beliau juga menasihatkan rakyat supaya mengambil langkah pencegahan seperti membersihkan kawasan sekitar rumah dan pejabat daripada bekas air yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.


“Kita sering mengambil ringan perkara begitu tapi Kerajaan Madani tidak akan mengambil ringan perkara ini,” ujarnya.


bottom of page