Denda RM48,000, Mengaku Salah Miliki Haiwan Dilindungi
- nabalunews
- 1 hour ago
- 1 min read

16 April 2026
SANDAKAN: Seorang pegawai ladang didenda RM48,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki haiwan daripada spesies dilindungi di Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis.
Tertuduh, Hendry Rayner Endim, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Roslinda Razali.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki tiga ekor bangkai ular sawa pendek (blood python), seekor ular sawa panjang (reticulated python), seekor bangkai musang (malay civet) dan dua ekor bangkai musang (common palm civet).
Semua haiwan berkenaan adalah spesis yang dilindungi di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 2.10 petang pada 24 Mei 2025 di jalan utama Paitan - Kanibongan, iaitu tanpa sebarang kebenaran sah di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(2) enakmen sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM30,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah mengenakan denda RM48,000 atau penjara selama enam bulan jika gagal membayar denda .
Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa Jabatan Hidupan Liar (JHL), Primus Lambut manakala tertuduh tidak diwakili peguam.















Comments