Dewan Masyarakat Kota Kinabalu Terbakar
- nabalunews
- Jul 29, 2025
- 1 min read

29 Julai 2025
KOTA KINABALU: Dewan Masyarakat Kota Kinabalu yang merupakan salah satu bangunan ikonik di ibu negeri ini musnah dalam kebakaran, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, dewan yang menyaksikan pelbagai detik penting dalam sejarah sosial dan budaya Sabah itu dilaporkan mengalami kerosakan lebih 80 peratus.
Difahamkan, bangunan yang dibina sebelum pembentukan Malaysia itu merupakan antara struktur awam terawal yang wujud semasa era penjajahan British di North Borneo.

Komander Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Asama Saruddin berkata, pihak menerima panggilan kecemasan melibatkan kebakaran struktur dewan berkeluasan 390 meter persegi itu pada jam 12.44 tengah malam.
Katanya, pihaknya mengerahkan seramai 25 anggota dari tiga Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) bersama empat jentera digerakkan ke lokasi.
“Pasukan operasi menggunakan satu aliran sepanjang 33 meter dengan satu pancutan dari FRT BBP Lintas serta dua aliran 60 meter dari jentera BBP Kota Kinabalu

“Tiada mangsa dilaporkan dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.08 pagi setelah kawasan disahkan selamat,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah Electricity dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.
Katanya, setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak forensik bomba.
Difahamkan, dewan berkenaan mula dibina pada tahun 1953 menggunakan dana pampasan pasca Perang Dunia Kedua dan siap sepenuhnya pada Mac 1958.
Selama lebih enam dekad dibina, ia pernah menjadi pentas pelbagai acara rasmi, persembahan seni dan sambutan Hari Merdeka peringkat tempatan sehingga menjadikannya sebagai simbol perpaduan dan warisan budaya warga Bandaraya Kota Kinabalu.















Comments