- Wartawan Nabalu News
Dewan Rakyat: Darurat tidak disambung, enam ordinan dibatalkan

26 Julai 2021
KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat yang tamat pada 1 Ogos 2021, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Beliau berkata, kerajaan juga memutuskan untuk membatalkan ordinan-ordinan yang dibuat semasa Proklamasi Darurat berkuat kuasa.
“Saya ingin sahkan hari ini, dan saya tertakluk (pada peraturan) kalau saya bercakap tidak benar, bahawa kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat yang baharu apabila tamat pada 1 Ogos nanti.
“Kerajaan juga telah buat keputusan berdasarkan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan untuk membatalkan ordinan-ordinan darurat yang telah dibuat semasa proklamasi darurat, maka isu ungkai tidak lagi releven.
“Enam ordinan dibatalkan berkuat kuasa 21 Julai ini,” katanya pada hari pertama Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.