top of page

Dewan Rakyat Lulus RUU Kredit Pengguna 2025

  • nabalunews
  • 2 days ago
  • 1 min read

22 Julai 2025


PUTRAJAYA: Rang Undang-Undang Kredit Pengguna (RUUKP) 2025 yang bertujuan melindungi kepentingan pengguna kredit di negara ini mendapat kelulusan Dewan Rakyat pada Isnin.


Rang Undang-Undang itu diluluskan selepas bacaan kali ketiga semalam oleh Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.


Beliau berkata, RUUKP yang dijangka diwartakan menjelang akhir tahun ini akan dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan penyedia kredit yang kini tidak berada di bawah seliaan mana-mana pihak berkuasa.


"Pada fasa pertama, Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) akan ditubuhkan bagi mengawal selia perniagaan kredit dan perniagaan perkhidmatan kredit yang tidak dikawal selia oleh mana-mana pihak berkuasa.


"Fasa kedua pula akan membabitkan pemindahan fungsi pengawalseliaan aktiviti kredit pengguna di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kepada SKP," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.


Manakala fasa ketiga, katanya melibatkan pemusatan pengawalseliaan pelakuan bagi seluruh aktiviti pasaran kewangan dalam negara, yang kini berada dalam peringkat kajian.


Hui Ying berkata, rang undang-undang itu digubal bagi memastikan pelakuan yang baik dan amalan pemberian bertanggungjawab oleh industri kredit serta menggalakkan industri kredit yang adil, cekap dan telus.


Menurutnya, pengguna kini lebih terdedah kepada pelbagai tawaran pinjaman segera, pembiayaan digital dan skim yang kelihatan menarik namun tersembunyi risiko hutang berlebihan serta kadar caj tinggi yang bersifat menindas


"RUUKP ini bakal menjadi undang-undang penting bagi melindungi hak dan kepentingan pengguna selaras dengan landskap industri kewangan negara yang semakin maju serta kompleks.


"Ia merupakan usaha bersepadu kerajaan ke arah transformasi landskap pengawalseliaan industri kredit bagi merealisasikan komitmen kerajaan dalam meningkatkan perlindungan kepada semua pengguna kredit Malaysia," ujarnya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page