top of page
nabalunews

Dewan Rakyat lulus RUU pindaan kewarganegaraan


17 Oktober 2024

 

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkaitan kewarganegaraan yang memberikan hak kewarganegaraan sama kepada anak-anak yang lahir di luar negara jika ibu mereka adalah warganegara Malaysia, berbanding sebelum ini yang hanya memberi keutamaan kepada bapa.

 

RUU tersebut mendapat sokongan majoriti dua pertiga selepas perbahasan melibatkan 70 Ahli Parlimen, di mana keputusan undian belah bahagian menunjukkan 206 Ahli Parlimen bersetuju, satu tidak bersetuju, dan 14 lagi tidak hadir.

 

"Jumlah keseluruhan adalah 221, manakala satu Ahli Parlimen tidak mengundi kerana digantung," kata Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, ketika mengumumkan keputusan itu.

 

Pindaan ini membolehkan kanak-kanak yang lahir di luar negara kepada ibu warganegara Malaysia mendapat kewarganegaraan secara automatik, sejajar dengan hak yang sama yang diberikan kepada bapa.

 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dalam sesi penggulungan memberi jaminan bahawa semua permohonan kewarganegaraan yang belum selesai akan diselesaikan selewat-lewatnya 17 Oktober tahun depan.

 

Sehingga semalam, sebanyak 19,317 permohonan kewarganegaraan telah diluluskan, menjadikan jumlah keseluruhan sejak tahun lalu sebanyak 32,153, dengan 80 peratus membabitkan kes lebih lima tahun.

 

Saifuddin turut memaklumkan bahawa kerajaan telah menambah baik prosedur operasi standard (SOP) untuk permohonan kewarganegaraan, di mana keputusan akan dimaklumkan dalam tempoh setahun, dan pemohon akan diberitahu sebab permohonan mereka ditolak jika tidak berjaya.

Commentaires


bottom of page