Dewan Serbaguna Kampung Sukang terima kerusi dan meja baharu sumbangan Ewon
7 November 2024
KOTA BELUD: Dewan Serbaguna Kampung Sukang, Mukim Kelawat kini dilengkapi kemudahan kerusi dan meja baharu menerusi sumbangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N11 Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.
Sebelum ini pada 28 Oktober lalu, Ewon telah menyumbangkan dana sebanyak RM7,000 bagi pembelian kerusi dan meja untuk dewan tersebut.
Sumbangan ini bertujuan untuk meningkatkan kemudahan yang tersedia di Dewan Serbaguna Kampung Sukang, agar masyarakat setempat dapat menggunakan dewan ini dengan lebih selesa bagi pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan acara penting.
Hari ini pada 7 November, Pegawai Pembangunan Masyarakat di Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N11 Kadamaian, Juin Kolod yang mewakili Ewon telah menyempurnakan gimik penyerahan kerusi untuk kegunaan Dewan Serbaguna Kampung Sukang.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen Ewon dalam memperkasakan infrastruktur asas komuniti luar bandar di Kadamaian bagi memastikan kemudahan untuk komuniti setempat adalah lengkap dan selesa.
Comments