Dewi Mahanih Dinobatkan Juara Kadamaian Idol 2025 di Kota Belud
- nabalunews
- Sep 21
- 2 min read

21 September 2025
KOTA BELUD: Pertandingan Kadamaian Idol 2025 yang berlangsung buat julung kalinya pada 15 September lalu di Kadamaian Square, Taginambur, melabuhkan tirai dengan kejayaan cemerlang peserta mewakili Kampung Lasau Podi, Dewi Mahanih. Beliau dinobatkan sebagai juara dan menerima hadiah berupa wang tunai berjumlah RM1,000 berserta piala kemenangan selepas memukau juri dengan persembahan vokal yang mengagumkan.
Naib Johan dimenangi oleh Mohdraizzadil Jamree dari Kampung Rugading, Tuaran, yang membawa pulang wang tunai RM700 serta piala. Tempat ketiga pula disandang oleh Juneka Majin dari Kampung Bukid, yang turut menampilkan persembahan yang mendapat perhatian.
Selain anugerah utama, pertandingan ini turut meraikan beberapa kategori khas. Anugerah Pakaian Terbaik dimenangi oleh Aylord Joy Phillipie Shoibih dari Kampung Melangkap Baru, hasil penampilannya yang kreatif dan berkarisma.

Dalam kategori Vokal Terbaik, Dewi sekali lagi menyerlah apabila dipilih sebagai pemenang, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai peserta paling menonjol pada malam tersebut. Anugerah Persembahan Terbaik pula menjadi milik Aylord Joy Phillipie Shoibih yang tampil dengan gaya persembahan memikat.
Bagi kategori Peserta Popular, gelaran tersebut disandang oleh Reoynd Jr ( dari Kampung Melangkap Baru hasil sokongan padu daripada peminat yang hadir ke lokasi pertandingan.
Penganjuran Kadamaian Idol 2025 bukan sahaja berjaya mencungkil bakat baharu dalam bidang seni suara, malah menjadi platform penting untuk memberi peluang kepada generasi muda menonjolkan potensi mereka di pentas hiburan. Menurut pihak penganjur,
David Taisin, kejayaan program ini turut menunjukkan sokongan masyarakat terhadap usaha memperkaya aktiviti seni dan kebudayaan setempat.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadmaian, Datuk Ewon Benedick atas sokongan penuh dalam pelaksanaan program tersebut.
Dengan sambutan hangat yang diterima, Kadamaian Idol berpotensi untuk diteruskan sebagai acara tahunan, sekali gus menjadi landasan penting dalam melahirkan lebih ramai bakat baharu dari Sabah untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.


















Comments